Kes Rex Tan: Menteri Dalam Negeri seru orang ramai ‘move on’

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru orang ramai untuk melangkah ke hadapan tanpa melakukan sebarang ugutan di laman sosial terhadap ahli keluarga bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan.

Menurutnya, ugutan terhadap lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Leseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu sebagai tidak wajar dan melampaui batas.

Tegasnya, proses undang-undang sedang berjalan dan orang ramai jangan berlebih-lebihan kerana ia tidak membantu mana-mana pihak.

“Kita beri ingatan pada orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan apalagi menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ugutan dan sebagainya.

“Kita mesti ‘move on’ daripada peristiwa yang berlaku, itu harapan kita semua.

“Sebab melontarkan kata-kata ugutan tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya hari ini, lapor BH.

Dirampas

Terdahulu, Rex Tan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sekitar jam 1.15 tengah hari semalam selepas keterangannya dirakam manakala telefon bimbitnya turut dirampas bagi membantu siasatan.

Tan dalam rakaman video yang tular mengemukakan soalan mengundang kecaman orang ramai kepada ahli politik United Kingdom (UK), George Galloway dalam wacana terbuka Gaza Expose The Complicity of International Actors.

Tan menyoal sama ada terdapat persamaan antara isu Palestin dengan kedudukan komuniti Cina di Malaysia, serta mendakwa sebahagian penyokong pro-Palestin tempatan juga mempunyai pandangan antipendatang.

Dia berpendapat kedua-dua isu terbabit berpunca daripada legasi penjajahan British dan berkongsi unsur xenofobia serta nasionalisme eksklusif.

Bagaimanapun, Galloway dalam reaksinya menempelak perbandingan nasib rakyat Palestin dengan komuniti Cina di negara ini dan menyifatkannya sebagai tidak tepat dan keterlaluan.

Bekas Ahli Parlimen Parti Buruh Britain bagi Rochdale itu berkata, beliau tidak melihat penindasan sistemik yang setara dengan apartheid di Malaysia, sambil menyatakan komuniti Cina kelihatan berkembang maju.

Malah, beliau berkata, menyamakan Malaysia dengan sebuah masyarakat apartheid seperti Palestin adalah sesuatu yang dikesali dan ‘agak memalukan’.

BACA JUGA Polemik eskalator Kuil Batu Caves terjawab, Gobind perjelas status permohonan