‘Negara jarang terkejut’, inilah ciri sebenar negara berdaya tahan

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa negara yang berdaya tahan bukanlah negara yang paling cepat bertindak ketika krisis, tetapi negara yang jarang terkejut kerana sistemnya telah bersedia lebih awal.

Beliau berkata, tema “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara” dalam Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merupakan satu kenyataan dasar yang tepat pada masanya, realistik dan berpandangan jauh dalam menghadapi landskap global yang semakin tidak menentu.

“Amanat ini dengan jelas meletakkan isu makanan bukan sekadar sebagai persoalan pengeluaran atau kebajikan rakyat, tetapi sebagai teras keselamatan negara dan kestabilan sosial.

“Pendekatan ini mencerminkan kefahaman bahawa dalam dunia yang berdepan perubahan iklim, sekatan eksport dan ketegangan geopolitik, makanan telah muncul sebagai instrumen strategik yang menentukan daya tahan sesebuah negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahfuz berpendapat langkah-langkah yang digariskan Menteri Pertanian, termasuk pengukuhan industri padi dan ruminan, pemerkasaan industri hiliran, pendekatan reverse investment serta penambahbaikan infrastruktur pertanian, merupakan asas penting ke arah memperkukuh kedaulatan makanan negara.

“Namun, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, agenda ini wajar dilihat dan dilaksanakan dalam kerangka yang lebih luas, iaitu pembinaan kedaulatan sistem makanan negara.

“Kedaulatan makanan tidak boleh diukur semata-mata melalui peningkatan hasil atau kadar sara diri.

“Ia perlu merangkumi keupayaan negara mengawal input strategik, data, logistik, pasaran dan kestabilan harga, agar sistem makanan negara mampu berfungsi dengan berkesan walaupun berdepan kejutan luaran,” jelasnya.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pendekatan reverse investment yang diumumkan wajar diperkukuh sebagai sebahagian daripada satu portfolio keselamatan makanan nasional, khususnya bagi input kritikal seperti benih, baja dan makanan ternakan.

Langkah ini, kata Mahfuz, bukan bertujuan menggantikan peranan pengeluar tempatan, sebaliknya berfungsi sebagai penampan strategik bagi melindungi rakyat daripada ketidaktentuan pasaran global.

Menggalakkan penyertaan

Menurutnya, pendekatan pelaburan berbalik arah wajar dimanfaatkan untuk menggalakkan penyertaan syarikat tempatan sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan makanan global, agar kepakaran, modal dan pulangan pelaburan dapat kembali memperkukuh ekosistem agromakanan negara.

“Saya juga berpandangan bahawa kejayaan pengukuhan industri padi dan ruminan perlu dinilai bukan sahaja dari sudut output, tetapi dari segi kestabilan pendapatan pengeluar dan kesejahteraan keluarga petani, penternak dan nelayan.

“Negara tidak boleh dianggap benar-benar berdaulat jika pengeluar makanannya sendiri terus berada dalam keadaan rapuh dan terdedah kepada turun naik pasaran.

“Negara tidak boleh dianggap berdaulat jika pengeluar makanannya sendiri hidup dalam ketidaktentuan,” kata Mahfuz.

Selain itu, pemimpin AMANAH berkenaan berkata, pemantapan industri hiliran dan infrastruktur pertanian harus dilihat sebagai usaha membina daya tahan system.

Ia termasuk, jelasnya, pengurangan pembaziran makanan, pengukuhan rantaian logistik dan penggunaan data secara bersepadu bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih awal, bukan sekadar bertindak balas apabila krisis berlaku.

“Saya yakin, dengan komitmen berterusan Kerajaan serta penglibatan semua pihak dalam ekosistem agromakanan, agenda memperkukuh kedaulatan makanan ini mampu menjadi asas kepada daya tahan negara yang sebenar dan berkekalan, demi kesejahteraan rakyat hari ini dan generasi akan datang,” kata Mahfuz lagi.

BACA JUGA UMNO kalah 93 kerusi kepada siapa?, Nga beri ‘ingatan mesra’