Polemik eskalator Kuil Batu Caves terjawab, Gobind perjelas status permohonan
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan Selangor dan pengurusan Kuil Batu Caves mencapai persefahaman untuk meneruskan projek pembinaan eskalator di kuil berkenaan.
Walau bagaimanapun, kata Menteri Digital berkenaan, pelaksanaannya masih tertakluk kepada penyelesaian beberapa aspek teknikal.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju semua peraturan berkaitan perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum pembinaan projek terbabit dilaksanakan.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa bagi tujuan pembinaan ini, semua peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi dengan teliti,” kata Gobind.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di ibu negara, hari ini.
Proses permohonan
Sebelum itu, Gobind turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan Kuil Batu Caves di Selangor bagi membincangkan isu tersebut.

Ahli Parlimen Damansara tersebut berkata, isu itu timbul berikutan status unik Kuil Batu Caves yang tertakluk kepada satu perintah mahkamah lama yang mewujudkan sebuah badan amanah, sekali gus menjadikan proses permohonan pembinaan berbeza daripada prosedur biasa.
Jelasnya, pertikaian timbul apabila permohonan pembinaan eskalator didakwa dibuat atas nama individu.
Namun, hasil penelitian mendapati permohonan terbabit dikemukakan oleh pihak kuil melalui Tan Sri R Nadarajah selaku pemegang amanah bagi tujuan kuil berkenaan.
“Tidak timbul soal Tan Sri R Nadarajah membuat permohonan dalam kapasiti peribadi.
“Ia dibuat dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi kuil, khususnya sebagai pemegang amanah jawatankuasa kuil, dan bukan sebagai individu,” katanya, dipetik Bernama.
Sebelum ini, Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti Selangor, V Papparaidu, dilaporkan berkata, kerajaan negeri menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi kegunaan komersial, termasuk cadangan pembinaan eskalator berkenaan, berdasarkan ketetapan perlembagaan.
Papparaidu berkata, permohonan itu dikemukakan atas nama individu tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara yang hanya membenarkan kelulusan diberikan kepada persatuan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
BACA JUGA Isu Dragon Temple Lane: AMANAH pertegas keutamaan penyelesaian manfaat langsung kepada rakyat