UMNO kalah 93 kerusi kepada siapa?, Nga beri ‘ingatan mesra’
DAP memberi peringatan mesra kepada UMNO berhubung siapa musuh sebenar parti itu ekoran kenyataan UMNO Terengganu pada Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025).
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menerusi hantaran di platform X berkata, UMNO bertanding 119 kerusi pada PRU15 dan menang 26 Parlimen, tidak tewas kepada DAP.
“Maka, Umno kalah 93 kerusi itu kepada siapa?
“Cuba teka jawapan dan anda akan faham siapa musuh sebenar Umno,” kata Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau dalam masa sama melampirkan laporan media berkenaan UMNO Terengganu yang lebih kecewa dengan sikap Pas berbanding DAP di negeri-negeri lain.
Semalam, perwakilan UMNO Terengganu, Nurhisam Johari berkata, mana-mana pihak yang mahu menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) perlu terlebih dahulu bertanya dan menilai pengalaman Umno Terengganu.
Tegasnya, sebagaimana negeri-negeri yang mempunyai DAP berasa kecewa dengan pelbagai “gelagat songsang” parti itu, rakyat Terengganu pula disifatkan 2,000 kali lebih kecewa dengan sikap serta perangai Pas.
“Seperti di negeri-negeri yang ada DAP dan mereka kecewa dengan pelbagai gelagat songsang DAP, kami di Terengganu, 2,000 kali lebih kecewa dengan sikap dan feel perangai Pas.
“Justeru, tanyalah kami, jika usaha mengembalikan Muafakat Nasional masih bergetar dari bibir sesetengah kita.
“Pun demikian, kami di Terengganu, penjaga rumah bangsa dan rumah asal politik Melayu ini tetap akur andainya toleransi dan keinsafan ikhlas dapat dibuktikan,” kata Nurhisam ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO semalam.
Untuk rekod, dalam keputusan PRU-15, 93 kerusi Parlimen yang UMNO tewas bukan kepada DAP, sebaliknya kepada Perikatan Nasional (PN).
UMNO tumbang kepada PN, khususnya Pas di Pantai Timur serta kawasan majoriti Melayu dan Bersatu di kerusi campuran dan Melayu separa bandar.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerap menggambarkan DAP sebagai musuh utama parti komponen Kerajaan Perpaduan itu.
Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 15 Januari lalu, Akmal mengumumkan keputusannya meletak jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Melaka untuk melawan DAP habis-habisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut berikrar ‘melahirkan 300,000 Akmal’ bagi berdepan pihak yang mengkritiknya termasuk DAP.
Malah, Akmal pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, 3 Januari lalu mendesak UMNO untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan Pas di blok pembangkang.
Walau bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal dalam pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
BACA JUGA Ayam, daging akan dinilai untuk masuk dalam bantuan SARA? Ini kata menteri