URA perlu lindungi penduduk tak setuju pembangunan semula

Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan menegaskan keperluan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bagi memastikan kepentingan semua pihak dilindungi dalam sebarang projek pembangunan semula, termasuk pemilik yang bersetuju, pemilik yang tidak bersetuju serta pihak pemaju.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, ketiadaan akta khusus sebelum ini menyebabkan pembangunan semula terpaksa dilaksanakan menggunakan Akta Pengambilan Tanah, sekali gus menimbulkan pelbagai ketidakadilan seperti yang berlaku di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

“Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ialah satu keadaan apabila tidak ada akta yang khusus untuk pembangunan semula maka digunakan Akta Pengambilan Tanah.

“Yang tidak bersetuju ini (dengan pembangunan semula), kita kena pastikan mereka mendapat perlindungan dan hak mereka dalam soal pampasan yang munasabah.

“Dalam Akta Pengambilan Tanah yang digunakan, soal pampasan diserahkan kepada mahkamah,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Menurutnya, antara kelemahan utama ialah isu pampasan, khususnya terhadap pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula, apabila penentuan nilai diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah tanpa garis perlindungan yang jelas.

“Golongan yang tidak bersetuju perlu dipastikan mendapat perlindungan dan hak mereka, termasuk pampasan yang munasabah,” katanya.

70 peratus

Sehubungan itu, Khalid mencadangkan agar URA memperuntukkan klausa jelas bahawa pampasan kepada pemilik yang tidak bersetuju tidak boleh kurang daripada 70 peratus nilai tawaran pemaju, sekiranya tawaran tersebut telah dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 80 peratus pemilik.

“Seharusnya, akta URA ini mengiktiraf nilai hartanah yang paling terkini. Jangan rujuk nilai hartanah pada masa lalu seperti yang berlaku di Kampung Sungai Baru,” tegasnya.

Apa yang berlaku sebelum ini, kata mantan Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan, jelas tidak adil apabila pemilik yang membantah hanya menerima sekitar satu pertiga daripada nilai yang diterima oleh mereka yang bersetuju.

Tambahnya, tanpa akta khusus, golongan yang tidak bersetuju gagal dilindungi, sekali gus mewujudkan ketidakadilan dalam proses pembangunan semula.

“Ia merupakan satu ketidakadilan tetapi oleh sebab tiada akta yang khas maka golongan yang tidak bersetuju tidak dilindungi.

“Saya ingin memberi penegasan, golongan penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula perlu diberi perlindungan. Perkara ini perlu dimasukkan dalam akta tersebut,” kata Khalid lagi.

BACA JUGA Bersedia bertanding PRU16, Titiwangsa antara kerusi berpotensi AMANAH jika…