Kilang baharu MD SkinLab & Nutraceutical dirasmikan di Sepang, pacu pertumbuhan industri halal

FOTO BERITA: Majlis perasmian kilang baharu MD SkinLab & Nutraceutical, milik MD Health, telah berlangsung dengan jayanya di Sepang dan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Puan Ani Ahmad. (Gambar: MD SkinLab)

Dalam ucapannya, Puan Ani menegaskan bahawa Sepang mempunyai kelebihan strategik yang unik sebagai hab pertumbuhan industri kesihatan dan nutraseutikal, khususnya dalam memperkukuh ekosistem industri halal di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau menggesa para pemain industri agar memanfaatkan kedudukan strategik Sepang yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jaringan logistik yang baik serta pasaran berbilang kaum sebagai faktor pemangkin untuk mengembangkan rantaian nilai industri halal.

“Sepang bukan sahaja mempunyai infrastruktur yang lengkap, malah pasaran masyarakat berbilang kaum di kawasan ini memberi peluang besar kepada produk kesihatan dan nutraseutikal halal untuk berkembang secara inklusif dan mampan,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran kilang baharu MD SkinLab & Nutraceutical mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sepang sebagai destinasi pelaburan industri berteknologi tinggi dan berorientasikan eksport.

Perasmian kilang ini dijangka dapat menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi halal global.

MD SkinLab & Nutraceutical memberi tumpuan kepada pengeluaran produk penjagaan kulit dan nutraseutikal berkualiti tinggi yang mematuhi piawaian keselamatan, kualiti dan halal, selari dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat.