Kuil dipindah secara terancang, pendekatan matang kerajaan pelihara keharmonian agama

Kerajaan menegaskan bahawa pembangunan Masjid MADANI dan proses pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dilaksanakan secara terancang, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama, sekali gus mencerminkan pendekatan matang dan berhemah pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerajaan komited memastikan kelangsungan amalan keagamaan semua pihak dengan menyediakan tapak baharu bagi pemindahan kuil terbabit serta mempercepatkan semua kelulusan berkaitan tanpa menjejaskan hak mana-mana komuniti.

Beliau berkata, beberapa langkah penting telah berjaya disempurnakan hasil kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

“Pada 17 September 2025, semua kelulusan Pelan Bangunan telah diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak kuil.

“Seterusnya, pada 5 Disember 2025, tapak kuil baharu telah digazetkan secara rasmi sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Hannah, kelulusan terakhir turut diberikan apabila Kebenaran Membina Bangunan di atas tanah berkenaan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) pada 14 Januari lalu.

“Seiring dengan itu, kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi melibatkan semua agensi dan pihak berkaitan melalui mesyuarat penyelarasan yang akan diadakan pada hari ini bagi memperincikan langkah dan penyelarasan pemindahan serta pembinaan,” kata beliau.

Sensitiviti keagamaan

Dalam masa sama, Hannah menegaskan kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak berkaitan, khususnya selepas Perayaan Thaipusam bagi memastikan pelaksanaan berjalan dengan teratur dan saling menghormati.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif atas kejayaan menyediakan tapak baharu untuk kuil berkenaan.

Hannah turut menyatakan penghargaan yang sama kepada Menteri Digital dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran atas komitmen bersama dalam memastikan keharmonian antara agama di ibu negara terus terpelihara.

“Pendekatan ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, saling menghormati serta kesediaan mendahulukan kepentingan bersama selaras dengan prinsip mengasihi sesama insan seperti diri sendiri,” kata Hannah lagi.

Isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India membabitkan tanah yang dimiliki syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel).

Mac tahun lalu, Jakel telah memaklumkan bahawa tanah bagi pembangunan sebuah masjid adalah milik penuh syarikat sejak 2012 selepas perjanjian pembelian dengan DBKL.

Tanah tersebut diwakafkan oleh pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.

Jakel kemudiannya telah memperoleh kelulusan pembangunan pada 2020 dan pelan bangunan pada 2021 untuk pembinaan masjid tiga tingkat dengan sub-basement.

Namun, pihak Jakel memaklumkan pembinaan ditangguhkan bagi menghormati kedudukan kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mac tahun lalu telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI setinggi empat tingkat yang akan dibina di tapak seluas 1,128 meter persegi.

BACA JUGA ‘Negara jarang terkejut’, inilah ciri sebenar negara berdaya tahan