Pemulihan sokongan Melayu perlu berteras pembaharuan bukan politik pengelompokan
Pemulihan sokongan masyarakat Melayu terhadap UMNO dan Kerajaan Perpaduan perlu digerakkan melalui pembaharuan dasar, prestasi pentadbiran serta kejujuran politik, bukannya melalui pembentukan blok berasaskan identiti yang berisiko menghidupkan semula politik lama.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata demikian ketika mengulas cadangan berhubung “kolaborasi agung parti Melayu-Islam”, sambil menegaskan kebimbangan terhadap sokongan Melayu adalah sah dan wajar ditangani secara matang serta berpandangan jauh.
Beliau menyatakan penghormatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan pemimpin berpengalaman yang memahami denyut nadi politik Melayu.
Kelmarin, Ahmad Zahid ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, UMNO mahu kolaborasi agung itu dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti Melayu dan Islam dalam kerangka lebih besar.
UMNO juga katanya, tidak mahu mana-mana parti yang akan menganggotai kolaborasi itu membubarkan parti mereka, sebaliknya bersama secara tidak rasmi terlebih dahulu bagi langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar.
Berhati-hati
Mengulas lanjut, Mahfuz bagaimanapun menegaskan sebarang cadangan kerjasama politik perlu diperjelaskan dengan berhati-hati agar tidak disalah tafsir sebagai langkah mengundur ke belakang.
“Dalam suasana politik hari ini, rakyat Melayu tidak menuntut penyatuan slogan. Mereka menuntut penyelesaian nyata terhadap kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan dan jaminan masa depan generasi baharu Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, pemulihan keyakinan rakyat akan lebih meyakinkan jika digerakkan melalui reformasi dasar dan pencapaian pentadbiran yang jelas, berbanding pendekatan pengelompokan identiti yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan kerajaan serta masyarakat majmuk.
Tegasnya, kewujudan Kerajaan Perpaduan adalah hasil kesedaran bersama bahawa Malaysia tidak boleh terus dibina atas politik pengelompokan, sebaliknya kekuatan negara terletak pada kesediaan untuk memerintah bersama walaupun berbeza latar dan sejarah politik.
“Saya yakin Datuk Seri (Zahid) juga tidak akan membenarkan sebarang inisiatif walaupun dengan niat baik yang boleh mengaburkan komitmen bersama terhadap perpaduan nasional yang sedang kita bina dengan susah payah.
“Semoga sebarang bentuk kerjasama politik selepas ini dan apa jua namanya diletakkan di atas landasan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya, bukan dibaca sebagai isyarat politik sempit yang boleh melemahkan keyakinan awam,” kata Mahfuz lagi.
BACA JUGA Ego dan politik halang penyelesaian isu kuil: Pendedahan bekas pegawai dalam DBKL