Tular aksi KP Pas cium tangan Mahiaddin, ‘sila berambus’ muncul kembali
Aksi Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan mencium tangan bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan mengundang sindiran warganet.
Menerusi sedutan klip video yang tersebar di media sosial, Afnan dilihat berbuat demikian di Dewan Rakyat.
Rata-rata menempelak tindakan Ahli Parlimen Alor Setar berkenaan yang sebelum ini menegaskan Pas wajar mengambil alih jawatan Pengerusi PN serta berhujah krisis politik Perlis membuktikan Bersatu tidak layak memimpin blok pembangkang tersebut.
Dalam hantaran di media sosial pada 29 Disember lalu, Afnan tanpa menamakan Bersatu secara langsung menyebut tentang perihal seorang kawan yang “lemah dan khianat”.
“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat.
“Dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah PAS mengambil-alih mengetuai PN.
“Pas take-over (ambil alih) PN. Presiden Pas (Abdul Hadi Awang) sebagai Pengerusi PN (gantikan Mahiaddin)…
“Yang khianat tak boleh dibuat kawan. Yang lemah tak boleh jadi ketua.
“Yang khianat, sila berambus. Yang lemah, sila turun,” tegas Afnan lagi.
Susulan perlakuan Afnan tersebut, warganet menyelar Pas termasuk menyifatkan pemimpin parti diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang itu lebih berbahaya daripada ular.
“Nampak sangat berlakonnya tu. Itulah rupanya wajah orang yang jilat ludah dia balik. Nampak tak berapa nak malu di situ.
“Biasalah kat depan bukan main lagi. Di belakang, maki hamun sumpah seranah semua ada.
“Pujuk jadi pengerusi (PN) semula la tu,” demikian antara reaksi warga maya melihatkan telatah Afnan.
BACA JUGA Kuil dipindah secara terancang, pendekatan matang kerajaan pelihara keharmonian agama