Mubasyyir Travel & Tours sasar 1,000 jemaah umrah menjelang 2026

FOTO BERITA: Sidang Media Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd sempena pengumuman pengukuhan operasi syarikat di 37B, Jalan Pelabur B 23/B, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. 20hb Januari 2026 Selasa. (Gambar: Mubasyyir Travel)

Pengendali umrah tempatan, Mubasyyir Travel & Tours terus memperkukuh operasi syarikat dengan sasaran mengendalikan sehingga 1,000 jemaah umrah menjelang tahun 2026, melibatkan penyertaan golongan B40 dan M40.

Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci secara selamat, teratur dan berintegriti, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pengendali umrah tempatan yang berlesen. Turut hadir ialah Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh.

“Mubasyyir ditubuhkan pada tahun 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam tempoh yang singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi dan tadbir urus yang kami amalkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini Mubasyyir telah mengendalikan sehingga 28 penerbangan umrah bermusim, bersamaan purata tiga penerbangan sebulan, sekali gus meletakkan syarikat itu antara pengendali umrah tempatan yang mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh singkat.

Katanya, pengukuhan operasi tersebut juga menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang tahun 2027.

“Kami melihat penglibatan dalam pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab kami dalam industri ibadah. Justeru, penekanan kini diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, pematuhan peraturan dan kestabilan operasi,” katanya.

Dalam masa terdekat, beliau memaklumkan kira-kira 30 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah Syawal, sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat. Mengulas situasi semasa industri, Datin Seri Hajah Intan berkata sektor umrah kini berdepan beberapa cabaran utama termasuk kewujudan ejen tidak berlesen, perubahan dasar visa Arab Saudi, persaingan harga tidak sihat, serta peningkatan kos operasi yang boleh menjejaskan kepentingan jemaah jika tidak dikawal.

“Isu penipuan pakej umrah semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada imej industri secara keseluruhan. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi pengendali yang sah dan berlesen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang tempahan umrah dengan memastikan agensi memiliki lesen MOTAC yang sah, tidak terpengaruh dengan pakej harga terlalu murah, menyemak rekod penerbangan yang jelas serta mengelakkan pembayaran ke akaun peribadi. Tambahnya, pemilihan pengendali yang mengamalkan ketepatan jadual penerbangan dan pengurusan yang telus amat penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah. Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi www.mubasyyirtravel.com.my