Pakar luah rasa lega, 13 pembaharuan besar sistem pendidikan mula dilaksana
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad meluahkan rasa lega dan gembira apabila pelbagai pembaharuan yang sekian lama disuarakan beliau akhirnya mula dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, selepas bertahun-tahun menulis, menegur dan mengemukakan cadangan termasuk mengkritik kelemahan sistem pendidikan secara terbuka, perkembangan terbaharu ini membuktikan bahawa teguran berasaskan ilmu dan fakta akhirnya membuahkan hasil.
“Hari ini adalah antara hari yang mengembirakan buat saya.
“Sekian lama saya menulis, menegur, mencadang dan ada masanya saya terpaksa mengkritik sistem pendidikan negara. Menulis hampir setiap hari tanpa jemu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kritikan yang disuarakannya selama ini bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana individu, sebaliknya tertumpu kepada kelemahan struktur dan dasar sistem pendidikan negara.
“Saya terus menulis kerana saya tahu saya di pihak yang benar. Dan bukan niat saya menulis untuk mencari salah sesiapa.
“Saya hanya menulis tentang kelemahan sistem pendidikan. Bukan tentang kelemahan mana -mana individu.
“Kritik saya atas tujuan yang baik dan jujur. Kritik saya bukan untuk kepentingan diri saya. Bukan juga atas tujuan politik.
“Saya kritik atas prinsip ilmu pendidikan, kerana saya tahu ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara kita,” jelasnya.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengakui jalan yang dipilih bukan mudah dan pernah memberi kesan terhadap kerjayanya, termasuk menerima surat peringatan.
Namun, Dr Anuar berkata, beliau tetap konsisten kerana yakin pendiriannya berpihak kepada kepentingan negara dan generasi masa depan.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya, khususnya isterinya, Dr Nur Atiqah, yang sentiasa memberi sokongan moral dan peringatan agar terus menyumbang kepada negara melalui ilmu pendidikan.
“Anak-anak menjadi sebab utama saya terus menulis. Mereka adalah generasi masa depan dan berhak mendapat pendidikan terbaik.
“Apa yang selama ini saya harapkan dari sebuah sistem pendidikan, hari ini telah mula saya nikmati,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Anuar menyenaraikan 13 langkah pembaharuan utama yang kini mula dilaksanakan, antaranya:
1) Pentaksiran Berpusat dikembalikan di tahun empat sekolah rendah.
2) Pentaksiran berpusat sekolah menengah tingkatan tiga dikembalikan.
3) Umur enam tahun anak-anak mula sekolah tahun satu.
4) Prasekolah wajib pada umur lima tahun.
5) RM100 juta untuk naik taraf bilik guru dan kebajikan guru.
6) Beban bukan pengajaran guru akan dikurangkan.
7) 80% masa guru di sekolah adalah khusus untuk masa instruksional.
8) JPN dan PPD diperkasakan sebagai institusi utama Reformasi Pendidikan.
9) Bahasa Melayu dimartabatkan, isu UEC dinoktahkan.
10) Bahasa Inggeris diperkasakan pada semua murid.
11) Mata pelajaran Sejarah, Perlembagaan dan Rukunegara diperkukuhkan.
12) Semua sekolah dapat akses internet dan peranti.
13) Anak-anak miskin dan OKU terus diberikan perhatian.
BACA JUGA Dulu ‘negeri ini orang nak ambik dah’, kini majlis pecah tanah ‘haram’ guna bahasa Melayu