Darjah 1 umur 6 tahun: Cabaran negara menua & beban ibu bapa
Cadangan membenarkan kemasukan murid ke Darjah 1 pada umur 6 tahun secara sukarela telah mencetuskan perbahasan awam yang agak emosional.
Namun, isu ini sebenarnya wajar dinilai melalui kerangka dasar pendidikan, demografi dan realiti sosioekonomi semasa, bukan melalui kebimbangan spekulatif atau salah faham.
Dasar sedia ada yang menetapkan kemasukan Darjah 1 pada umur 7 tahun telah diperkenalkan sejak 1961.
Dalam tempoh lebih 60 tahun, landskap pendidikan, perkembangan kognitif kanak-kanak serta keperluan negara telah berubah dengan ketara.
Kanak-kanak hari ini terdedah lebih awal kepada literasi, teknologi dan pembelajaran tidak formal, sama ada melalui prasekolah, persekitaran digital atau sokongan keluarga.
Oleh itu, memberi pilihan kepada ibu bapa untuk memulakan pendidikan formal pada umur 6 tahun bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Malah, pendekatan ini telah lama diamalkan di banyak negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan negara-negara Nordik.
Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kemasukan awal ke pendidikan formal, jika disertai dengan saringan kesiapsiagaan, tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak dan boleh menyokong perkembangan akademik mereka dengan lebih terancang.
Penting untuk ditegaskan bahawa cadangan ini tidak menghapuskan kemasukan pada umur 7 tahun.
Umur 7 kekal sebagai laluan biasa, manakala umur 6 hanyalah pilihan.
Kemasukan awal juga tertakluk kepada saringan, bagi memastikan hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi perkembangan kognitif, emosi dan sosial dibenarkan.
Tempoh pendidikan sekolah rendah pula kekal 6 tahun, tanpa sebarang penambahan tahun persekolahan.
Dari sudut ekonomi keluarga, langkah ini berpotensi mengurangkan beban kewangan ibu bapa.
Kos pendidikan di sekolah rendah kerajaan adalah jauh lebih rendah berbanding tadika swasta, sekali gus memberi kelegaan khususnya kepada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.
Lebih jauh daripada itu, reformasi kecil ini perlu dilihat dalam konteks cabaran demografi jangka panjang.
Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua, di mana nisbah warga emas semakin meningkat berbanding golongan usia bekerja.
Mempercepatkan kemasukan ke sistem pendidikan formal, tanpa mengorbankan kualiti atau kebajikan kanak-kanak, boleh membantu memastikan aliran tenaga kerja masa hadapan kekal mencukupi.
Kemasukan Darjah 1 pada umur 6 tahun secara sukarela bukanlah eksperimen sosial, tetapi satu penyesuaian dasar yang berasaskan realiti semasa.
Perbahasan yang matang, berasaskan fakta dan perbandingan antarabangsa, jauh lebih diperlukan berbanding reaksi beremosi yang berasaskan salah faham.
BACA JUGA Rasuah tender perolehan: Pegawai tertinggi ATM akan dituduh esok