JAIS ambil tindakan tegas terhadap pengendali akaun FB Masjid Bandar Tasik Puteri

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali akaun Masjid Bandar Tasik Puteri yang didakwa berkongsi hantaran politik menggunakan Facebook rasmi masjid.

Tindakan akan diambil selepas isu ini dibangkitkan oleh bekas ADUN, Hasnul Zulkarnain dan hantaran di Blogspot gigitankerengga.blogspot.com dengan tajuk “Dah kenapa laman rasmi masjid jadi ‘page’ Pas?”.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari perintah Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

MAIS juga akan mengambil tindakan yang sesuai selaras dengan Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017 sehingga boleh menyebabkan pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa.

“Pendirian MAIS dan JAIS dalam perkara ini dibuat berdasarkan titah Sultan Selangor yang mahukan masjid dan surau di Negeri Selangor sentiasa mengambil sikap tidak terlibat atau cenderung atau mencetuskan apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam, khususnya pengaruh politik kepartian.

“Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS tegas dalam perkara ini bagi memastikan masjid dan surau di Selangor terus kekal sebagai institusi yang mengambil sikap berkecuali, menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, seterusnya menjadi pusat dan nadi kekuatan umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyeru umat Islam untuk terus membina kekuatan dengan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam di peringkat kariah masing-masing.

“Berbezalah untuk memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati. Bukan berbeza yang menidakkan perkara pokok dan asas agama, mengetepikan ilmu dan adab, yang menanam hati dan perasaan yang penuh hasad, dendam kesumat, kebencian dan ekstrem,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Pembekuan tender, perolehan bermasalah di MINDEF: Ini amaran PM