Pelabuhan Klang cemerlang masuk senarai ‘Top 10’ dunia
Pelabuhan Klang berjaya merekodkan percapaian yang cukup cemerlang apabila berada dalam kedudukan 10 teratas di dalam Senarai Lloyds bagi 100 Pelabuhan Utama Dunia untuk tahun 2025.
Berdasarkan senarai tersebut, Pelabuhan Klang berada di tempat ke-10 dengan hasil pengendalian 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024 mendahului Rotterdam (11) dan Hong Kong (12).
Pencapaian ini juga turut mencatatkan peningkatan yang berterusan apabila kedudukan Pelabuhan Klang melonjak ke tempat ke-10 terbaik dunia daripada tangga ke-11 pada 2023 dan ke-13 pada 2022.
Rekod bersejarah itu cukup bermakna bagi sektor maritim negara malah turut menjadi tanda pengukuhan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai hab pindah kapal strategik dan pintu masuk utama perdagangan global.
Bukan itu sahaja, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut mencatatkan prestasi yang memberansangkan dengan menduduki tangga ke-15 dalam senarai di belakang Antwerp-Bruges di Belgium dan Xiamen, China.
Sebelum ini, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Kapten K. Subramaniam berkata, prestasi konsisten perlabuhan itu berpunca daripada kepimpinan mantap, sokongan dasar kerajaan, peningkatan operasi, pembangunan infrastruktur, komitmen terhadap kelestarian serta keupayaan modal insan.
Peningkatan rekod pengendalian 14.64 juta TEU itu juga didorong dari pemulihan perdagangan global serta disokong operasi pelabuhan yang cekap, kestabilan rantaian bekalan serantau dan kerjasama dengan syarikat perkapalan utama.