Pembekuan tender, perolehan bermasalah di MINDEF: Ini amaran PM
Kerajaan meneruskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. berkata, semua perolehan yang telah diluluskan sebelum ini akan diteliti semula dan dipantau rapi sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan, dengan mengambil kira keupayaan kewangan negara
“Saya tegaskan (proses) pembekuan semua perolehan tidak harus sesiapa pun ganggu-gugat, ia mesti melalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawab kepada Menteri bersama Ketua Setiausaha (KSU).
“Kita ada dasar industri pertahanan, tapi saya terangkumkan (perlu) ada satu agensi atau atau pusat yang memutuskan secara lebih telus.
“Penentuan jenis senjata dan kelengkapan yang diperlukan bukan ditentukan oleh saya, tetapi oleh mereka yang mempunyai kepakaran, mengikut keutamaan serta keterbatasan yang ada mengikut proses yang telus dan munasabah,” tegas beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara hari ini.
Perolehan yang telus
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, DIPN yang dilancarkan hari ini juga mesti memenuhi komitmen perolehan yang telus dan dilaksana menerusi tadbir urus serta tatakelola baik.
Menurutnya, DIPN bukan sahaja berperanan memperkukuh ekosistem pertahanan, tetapi juga menyediakan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rangkaian bekalan tempatan serta pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Tumpuan kita termasuk atau bermula dengan pengukuhan tabir urus dan institusi yang selalu saya tekankan, bermula dengan tatakelola baik.
“Kita ada keupayaan, puluhan bilion ringgit dibelanjakan, tetapi kalau kita asyik gila dengan komisen dan dengan kepentingan kekayaan peribadi, mana kita nak fikirkan kepentingan industri tempatan.
“Bila kita lihat, umpamanya keupayaan Malaysia ketimbang banyak negara berkembang lain dari sudut membina kekuatan teknologi dan industri tempatan.
“Sebab itu DIPN ini memberi penekanan dalam bidang ini, harus didukung sepenuhnya, sama ada oleh syarikat-syarikat milik kerajaan.
“Tentunya kita harus beri ruang bagaimana syarikat tempatan lainnya yang menunjukkan keupayaan, harus diberikan sokongan sebaik mungkin,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Tergamak usir 14 keluarga Orang Asli, Terengganu mahu bina Kolej Al-Quran