‘Akta Hasutan digunakan secara terhad, terpilih’

Dalam keadaan Pakatan Harapan menegaskan komitmen untuk menyemak semula Akta Hasutan 1948, penggunaannya oleh kerajaan Madani adalah amat terhad dan terpilih.

“Walaupun terdapat komitmen untuk menyemak semula akta ini, sementara semakan terhadap akta tersebut terus dilaksanakan, Akta Hasutan akan digunakan secara amat terhad dan terpilih, iaitu hanya bagi kes-kes yang melibatkan penghinaan terhadap Institusi Diraja dan perkara yang menggugat kedaulatan negara,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kementerian menegaskan bahawa PDRM mempunyai tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang demi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara, khususnya yang melibatkan isu-isu sensitif 3R (Agama, Institusi Raja, Kaum),” tambah beliau dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya mengenai Polis Diraja Malaysia yang masih menangkap, menahan, menyiasat dan menuduh individu di mahkamah meskipun Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan akta ini di dalam manifestonya.

BACA JUGA: Buat ceramah berunsur hasutan, polis tahan Chegu Bard