Dakwaan “Tender Rigged” MINDEF: laporan dibuat kepada MOF, MyCC dan SPRM

FOTO BERITA… Sidang Media oleh Arun Dorasamy isu Skandal “Tender Rigged Mindef” Rm20 juta kesan terhadap keselamatan anggota tentera laut negara di Crystal Hall 2, Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya, Selangor. 22hb Januari 2026 (Khamis)

Arun Dorasamy mendakwa wujud penyelewengan serius dalam satu tender bernilai RM20 juta melibatkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang menurutnya memberi kesan langsung terhadap tahap keselamatan operasi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta 537 anggotanya.

Beliau mendakwa tender berkenaan telah “dirigkan secara sistematik” dan melibatkan unsur faedah tertentu (“benefits”) yang disifatkannya bercanggah dengan undang-undang serta prinsip perolehan yang telus.

Menurut Arun, laporan rasmi berhubung perkara tersebut telah dan sedang dibuat kepada beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) Bahagian Perolehan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Katanya, isu yang dibangkitkan bukan sekadar melibatkan proses tender, malah didakwa mempunyai implikasi terus kepada keupayaan operasi kapal TLDM dan keselamatan anggota yang bertugas di laut.

“Apabila rasuah dibiarkan, nyawa menjadi cagaran. Ini bukan isu tender semata-mata — ini isu keselamatan negara,” tegas beliau.

Sidang media itu turut dihadiri beberapa Pengarah Syarikat Bumiputera En. Abd. Razak Basirun dan En. Anuar Atan yang menurut penganjur terkesan secara langsung oleh keputusan tender berkenaan. Mereka hadir bagi memberi penjelasan lanjut serta menjawab pertanyaan pihak media.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Kementerian Pertahanan berhubung dakwaan tersebut. Pihak penganjur menggesa agar satu siasatan bebas dan telus dijalankan bagi memastikan integriti sistem perolehan pertahanan negara terus terpelihara serta keselamatan anggota tentera tidak dikompromi.