Peletakan jawatan Akmal: Ini pengesahan Ketua Menteri Melaka
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), 20 Januari lalu.
“Ya, saya sudah terima, tunggu masa Tun (Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam) untuk berbincang,” katanya, dipetik BH.
Surat itu dilapor diserahkan Akmal sejurus mesyuarat mingguan Exco di Port Dickson malam Selasa lalu.
Mesyuarat itu diadakan sempena Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka selama dua hari bermula Isnin lalu.
Minggu lalu, Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang akan berkuat kuasa minggu ini.
Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dibuat atas dasar tanggungjawab, prinsip dan maruah serta demi kepentingan parti, selaras dengan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bekerjasama dengan DAP.
BACA JUGA Kenaikan gaji baharu tertinggi penjawat awam dalam tempoh 12 tahun – PM