RM2.6 bilion perkasa institusi pendidikan Islam, lebih dua kali ganda dari sebelum ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM2.6 bilion disediakan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam.

Beliau mengulangi jumlah peruntukan itu ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Sekolah Agama Rakyat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Saidatina Aisyah di Taman Harmoni, di Bentong hari ini.

“Tadi disebut memang peruntukan kita tambah dan jumlahnya bukan kecil.

“Ketika saya mengambil alih, peruntukan itu sekitar RM1.2 bilion.

“Sekarang dengan ekonomi yang rancak dan berkembang, kita tambah kepada RM2.6 bilion.

“Ini termasuk bantuan kepada sekolah agama rakyat yang daif dengan tambahan sebanyak RM200 juta,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyaluran peruntukan berkenaan akan diteliti secara menyeluruh melalui pegawai daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi mengenal pasti keperluan sebenar.

Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan meluluskan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Agama Rakyat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) tersebut.

Ia bagi kerja-kerja pembaikan fizikal, sekali gus meningkatkan keselesaan pembelajaran pelajar.

Untuk rekod, peruntukan sebanyak RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026 merupakan agenda memperkukuh syiar Islam di negara ini.

Ia merangkumi insentif bagi menaik taraf prasarana institusi pendidikan berteraskan Islam termasuk penggantian peralatan pengajian using di sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz.

Setakat Oktober tahun lalu, terdapat lebih 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 tidak berdaftar.

BACA JUGA UMNO bangkit dalam realiti baharu atau tenggelam dalam nostalgia?