Tipu pelabur lebih RM300 juta, SPRM tahan Tan Sri
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan membabitkan kerugian dipercayai melebihi RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
Menurutnya, individu berkenaan merupakan pemilik sebuah syarikat swasta serta dikenali sebagai ahli kewangan Islam, dan siasatan awal mendapati wang pelabur dipercayai disalahgunakan melalui skim pelaburan yang mengelirukan.
Beliau berkata, SPRM memperoleh kebenaran perintah reman selama empat hari terhadap suspek itu di mahkamah Putrajaya, pagi tadi, bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa sama, katanya, SPRM turut memberkas seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.
“Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.
“Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit.
“Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di Kota Bharu, hari ini.
Tambahnya, pelaburan dipercayai didalangi dua suspek terbabit adalah pelbagai dengan dijanjikan pulangan yang lumayan.
Sehubungan itu, Azam menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan kegiatan pelaburan yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian.
BACA JUGA Tergamak usir 14 keluarga Orang Asli, Terengganu mahu bina Kolej Al-Quran