Bekas Panglima Tentera Darat jadi tertuduh, RM145,000 wang haram masuk akaun
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Dia berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000.
Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Beliau menjadi PTD pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Berdasarkan pertuduhan, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Ampang antara 19 September hingga 28 November 2024 serta 19 Mei 2025.
Susulan itu, Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Semalam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hafizuddeain mengaku tidak bersalah terhadap atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.
Isteri ketiga tertuduh, Salwani Anuar, 27, pula didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000.
Salwani bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah seperti mana pengakuan dibuat suaminya yang terlebih dahulu dituduh di Mahkamah Sesyen berasingan.
BACA JUGA Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas tangani isu rumah ibadat tidak patuh undang-undang