Dari dasar ke hasil, kerajaan Madani catat peningkatan pendapatan

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata terdapat lebih 40 dasar dan inisiatif utama yang baharu diperkenalkan, selain lebih 80 akta dipinda termasuk akta baharu digubal kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dan berfasa.

Jelasnya, matlamat utama reformasi itu adalah untuk menstruktur semula ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu berkata, lebih 50 projek berimpak tinggi dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Pelbagai reformasi yang dilaksanakan tersebut sehingga kini telah menunjukkan kejayaan secara makro dan juga menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan isi rumah yang boleh dirasai oleh rakyat.

“Pendapatan purata bulanan isi rumah telah meningkat sebanyak 3.8% kepada RM9,155 pada 2024, berbanding RM8,479 pada 2022.

Kadar kemiskinan mutlak juga telah berkurangan kepada 5.1% daripada 6.2% dalam tempoh yang sama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu sejauh mana janji reformasi ekonomi kerajaan ditunaikan memandangkan pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan kos hidup dan indikator sebenar kejayaan yang boleh dibuktikan.

Akmal ketika mengulas lanjut, berkata kejayaan reformasi ekonomi kerajaan diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi terkawal, dan pasaran buruh stabil serta peningkatan pendapatan dan pengurangan kemiskinan merupakan indikator membuktikan reformasi ekonomi mula menampakkan hasil,” jelas beliau lagi.

BACA JUGA ‘Yeye’: Bekas kapten tempelak MP PN