Dulu Diperli, Kini Turunkan Kes Kemalangan Kenderaan Berat

Jumlah kemalangan maut membabitkan kenderaan berat mencatatkan penurunan yang menggalakkan sepanjang tahun lalu, satu perkembangan positif dalam landskap keselamatan jalan raya negara.

Data awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 163 kes kemalangan maut direkodkan pada tahun lalu, berbanding 260 kes pada 2024 dan 232 kes pada 2023.

Angka ini memberi isyarat awal bahawa pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas mula menunjukkan hasil.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa statistik tersebut merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat, tanpa mengambil kira sama ada kenderaan tersebut adalah punca utama atau sekadar terlibat.

Penjelasan ini penting bagi mengelakkan salah tafsir data, sekali gus memastikan perbincangan awam berpaksikan fakta yang tepat.

Menurut beliau, penurunan ini berkait rapat dengan penguatkuasaan yang diperkukuh, khususnya terhadap pematuhan keselamatan kenderaan berat termasuk kawalan muatan.

Dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara 14 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 3,604 kenderaan berat dikesan dan diambil tindakan kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Daripada jumlah itu, 1,731 kenderaan melibatkan muatan 7.5 tan ke bawah, 1,193 kenderaan antara 7.5 hingga 32 tan, manakala 680 kenderaan melibatkan muatan melebihi 32 tan.

Data ini mendedahkan satu realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Lebihan muatan, terutama pada tahap serius, bukan sekadar isu pelanggaran peraturan, tetapi ancaman langsung kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Kenderaan yang terlebih muatan berisiko kehilangan kestabilan, kegagalan sistem brek, serta mempercepatkan kerosakan infrastruktur jalan.

Dalam jangka panjang, kos sosial dan ekonomi akibat kemalangan jauh lebih besar berbanding kos penguatkuasaan.

Lebih penting, kementerian memberi isyarat jelas bahawa penguatkuasaan tidak lagi bersifat bermusim.

Penambahbaikan kaedah dan teknologi akan dilaksanakan bagi memantau serta meningkatkan kompetensi pemandu.

Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) juga akan dirombak agar lebih berkesan sebagai mekanisme pencegahan, bukan sekadar hukuman.

Pelaksanaan High Speed–Weigh in Motion (HS-WIM) di dua lokasi terpilih dalam masa terdekat turut mencerminkan anjakan ke arah penguatkuasaan berasaskan teknologi.

Jika dilaksanakan secara konsisten dan telus, pendekatan ini bukan sahaja mampu mengekang lebihan muatan, malah berpotensi mengubah budaya pematuhan dalam industri pengangkutan berat.

Penurunan statistik hanyalah permulaan; cabaran sebenar adalah memastikan trend ini berkekalan demi melindungi nyawa di jalan raya.