Pemandu mabuk makin melampau, palang keselamatan Istana Negara pun dirempuh

Seorang pemandu mabuk ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, Bukit Damansara kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kereta yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu datang dari arah Bukit Damansara.

“Tiada kecederaan dilaporkan oleh pemandu kereta atau mana-mana pihak lain.

“Kemalangan melibatkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan ‘Bollard Pole‘ dan ‘Barrier Gate‘,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri Mohd Isa

Mohd Zamzuri berkata, pihaknya turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan pemandu serta menjalankan ujian pernafasan.

“Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan,” jelasnya.

Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, yang mengarahkan supaya pemandu berkenaan dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret (13) Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.

BACA JUGA Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas tangani isu rumah ibadat tidak patuh undang-undang