RM10 Kontrak Pekerja: Duti setem membebankan perniagaan, birokrasi melemahkan daya saing PKS

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Tuan Lee Chean Chung Ahli Parlimen Petaling Jaya isu berkaitan duti setem membebankan perniagaan, birokrasi melemahkan daya saing PKS di Pusat Media Parlimen, Kuala Lumpur. 22 Januari 2026 (Khamis)

Pelaksanaan ketetapan baharu yang mewajibkan setiap kontrak pekerjaan dikenakan duti setem sebanyak RM10 menimbulkan kebimbangan dan ketidakpuasan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar serta kos operasi perniagaan yang semakin meningkat. Walaupun hasrat kerajaan dilihat bertujuan memperkukuh pematuhan dan penyeragaman dokumentasi pekerjaan, langkah tersebut disifatkan sebagai membebankan PKS bersaiz kecil yang mempunyai sumber terhad, sekali gus menambah tekanan kos dan berpotensi mengganggu iklim pelaburan negara.

PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan hampir 49 peratus peluang pekerjaan. Namun realitinya, kebanyakan PKS beroperasi dengan tenaga kerja terhad dan berdepan kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, termasuk pengambilan pekerja kontrak jangka pendek, sambilan dan sementara.

PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan hampir 49 peratus peluang pekerjaan. Namun realitinya, kebanyakan PKS beroperasi dengan tenaga kerja terhad dan berdepan kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, termasuk pengambilan pekerja kontrak jangka pendek, sambilan dan sementara. Kewajipan mengecap duti setem RM10 bagi setiap kontrak pekerjaan dilihat akan terkumpul menjadi kos pentadbiran yang tidak perlu. Lebih membimbangkan, majikan bukan sahaja perlu menanggung kos kewangan, malah perlu meluangkan masa mengurus proses cap setem secara dalam talian. Mengikut peruntukan Akta Duti Setem 1949, majikan juga diwajibkan mengecap duti setem dalam tempoh 30 hari selepas kontrak ditandatangani, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan penalti.

Difahamkan bermula tahun ini, sistem e-Duti Setem telah dipindahkan daripada platform terdahulu kepada sistem MyTax Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perubahan peraturan yang kerap, termasuk pengecualian pembayaran bagi perjanjian sebelum 1 Januari 2025, pengecualian denda lewat sehingga 31 Disember 2025, serta pelaksanaan penuh tanpa pengecualian mulai 2026, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan PKS.

Difahamkan bermula tahun ini, sistem e-Duti Setem telah dipindahkan daripada platform terdahulu kepada sistem MyTax Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perubahan peraturan yang kerap, termasuk pengecualian pembayaran bagi perjanjian sebelum 1 Januari 2025, pengecualian denda lewat sehingga 31 Disember 2025, serta pelaksanaan penuh tanpa pengecualian mulai 2026, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan PKS. Selain itu, ambang gaji bulanan dalam kontrak pekerjaan yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM3,000 disifatkan lebih realistik, namun tetap membawa implikasi “kos tersembunyi” kepada majikan kecil.

Kajian kasar mendapati proses mengecap duti setem dan menyempurnakan bayaran RM10 bagi setiap pekerja mengambil purata 10 minit. Tinjauan luar turut mendapati terdapat firma perunding yang mengenakan caj antara RM50 hingga RM60 bagi setiap pekerja untuk membantu PKS mengurus proses tersebut. Pengiraan asas menunjukkan sebuah firma yang mempunyai 30 orang pekerja dengan kadar pusing ganti 20 peratus akan menanggung kos sehingga RM1,500 pada tahun pertama, dan sekitar RM300 bagi setiap tahun berikutnya. Kos ini dianggap signifikan bagi perniagaan kecil kerana ia melambatkan operasi harian serta menjejaskan kecekapan.
Pemerhati perniagaan turut menyuarakan kebimbangan bahawa birokrasi yang diperkenalkan atas nama pematuhan akhirnya akan mengecilkan ruang syarikat untuk melabur, meningkatkan gaji dan memperkukuh produktiviti, seterusnya melemahkan daya saing PKS di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sehubungan itu, komuniti perniagaan menggesa kerajaan agar menilai semula ketetapan berkenaan dan mempertimbangkan pembatalan atau penangguhan pengecasan duti setem RM10 yang dilihat tidak memberikan pulangan besar kepada hasil kerajaan, namun memberi kesan ketara kepada PKS. Menurut mereka, kerajaan yang beriltizam memacu pembangunan negara seharusnya berdiri seiring dengan komuniti perniagaan dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih mudah, cekap dan berdaya saing, bukannya menambah lapisan birokrasi yang membebankan.

PKS menegaskan apa yang diperlukan bukan sekadar subsidi, tetapi dasar yang pragmatik, mesra perniagaan dan benar-benar membantu meningkatkan produktiviti serta memacu pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.