Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas tangani isu rumah ibadat tidak patuh undang-undang

Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim menyeru agar Kerajaan MADANI segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat Kabinet bagi menangani isu pembinaan rumah ibadat tidak patuh undang-undang secara menyeluruh.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut perlu menetapkan kerangka nasional yang jelas, merangkumi klasifikasi kes, pilihan penyelesaian sebelum penguatkuasaan, mekanisme mediasi serta disiplin komunikasi agar isu pentadbiran tidak terus diperalatkan menjadi konflik perkauman.

Mengulas perdebatan di Dewan Rakyat berhubung isu pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang melibatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dan Ahli Parlimen Jelutong, R. S. N. Rayer, beliau berkata, isu tersebut perlu ditangani berteraskan perundangan, berfakta dan berhemah.

“Isu status tanah, kelulusan pembinaan serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan institusi agama tidak boleh diselesaikan melalui retorik atau sentimen apatah lagi dengan meniup api perkauman.

“Saya berpandangan bahawa cara isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas bukanlah untuk mencari penyelesaian menyeluruh, sebaliknya berisiko menjarakkan hubungan antara kaum dan mencetuskan kegusaran awam,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Kegusaran rakyat

Wan Anwar berkata, sidang Parlimen bukan medan untuk mempolitikkan kegusaran rakyat, sebaliknya ruang untuk merangka dasar yang menenangkan dan melindungi keharmonian negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan semua pemimpin tanpa mengira latar agama atau kaum mempunyai tanggungjawab mendisiplinkan komuniti masing-masing agar mematuhi undang-undang.

“Sebarang pembelaan terhadap binaan rumah ibadat yang tidak patuh peraturan hanya akan memanjangkan polemik dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tragedi di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Selangor yang mengorbankan Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah peringatan pahit bahawa kegagalan mengurus isu pentadbiran rumah ibadat boleh membawa akibat tragis.

“Sejarah juga membuktikan bahawa masjid dan surau pernah dirobohkan atau dipindahkan atas sebab undang-undang, termasuk kerana dibina di atas tanah kerajaan atau tanpa kelulusan.

“Keputusan tegas pernah dibuat oleh kerajaan, dan majoriti umat Islam akhirnya menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka demi menghormati kedaulatan undang-undang.

“Prinsip yang sama mesti diterapkan secara konsisten dan adil kepada semua rumah ibadat,” kata beliau.

Wan Anwar yang juga pengamal undang-undang menegaskan Parti Amanah Negara (AMANAH) berpegang teguh bahawa keharmonian negara hanya dapat dipelihara melalui keadilan undang-undang, konsistensi dasar dan kematangan politik.

“Kita tidak boleh membiarkan isu sensitif ini terus dijadikan modal politik sempit yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menenangkan dan bukannya menghasut; menyatukan, bukan memecah-belahkan sehingga berisiko kepada perpaduan negara.

“Komitmen untuk menyelesaikan isu ini berpaksikan undang-undang adalah tanggungjawab bersama,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas tangani isu rumah ibadat tidak patuh undang-undang