SPRM sedang mengesan aset IJM bernilai RM2.5 bilion di luar negara
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan RM2.5 bilion aset luar negara yang terkait dalam siasatannya ke atas IJM Corporation Bhd.
Menurut ketua pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, analisa forensik sedang dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana wang ke luar negara telah dialirkan.
“Kita sedang menunggu maklumat daripada beberapa agensi penguatkuasa asing berhubung lokasi dan pendaftaran aset tersebut yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion,” kata beliau, lapor New Straits Times.
Azam berkata SPRM juga menunggu respon agensi luar untuk memastikan sama ada aset berkenaan didaftarkan di bawah nama individu, syarikat atau proksi.
Dalam pada itu beliau turut mendedahkan bahawa SPRM telah mengenalpasti kelemahan dalam tadbir urus korporat IJM termasuk penglibatan sesetengah individu berkepentingan dalam proses membuat keputusan yang menguntungkan orang tertentu.
“Siasatan masih bertumpu kepada mengenalpasti individu yang yang disyaki terlibat dalam kegiatan memanipulasi proses perolehan syarikat dan potensi konflik berkepentingan,” kata beliau.
Para penyiasat juga sedang mengenalpasti pihak ketiga dan proksi yang dipercayai memainkan peranan dalam kontrak dan perolehan syarikat.
BACA JUGA: Berita baik untuk penjaja Bazar Ramadan DBKL