Kemenangan BN cerminan keyakinan rakyat

Kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mencerminkan keyakinan rakyat terhadap usaha berterusan ditunjukkan di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan. 

“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama. 

“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan ini, dan dengan doa agar legasi khidmat dan kepemimpinan allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” katanya pagi ini.

Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin apabila tampil dengan kemenangan bergaya selepas memperoleh 19,852 undi, iaitu majoriti 14,214.

Bagi kerusi DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayob memenangi pertarungan satu lawan satu menerusi 7,269 undi, berbanding pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang meraih 1,588 undi.

BACA JUGA Pemimpin Pas sendiri mula risau perpecahan mereka semakin ketara