Malaysia jadi tumpuan, diserbu 38 juta pelancong tahun lepas kalah Thailand

Industri pelancongan negara menunjukkan pemulihan kukuh apabila Malaysia muncul sebagai negara paling ramai dikunjungi di Asia Tenggara bagi tahun 2025.

Pencapaian membanggakan itu direkod selepas negara menerima kehadiran 38 juta pelancong asing sehingga November tahun lalu.

Ia sekali gus mengatasi Thailand yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan dalam sektor pelancongan.

Berdasarkan data Tourism Malaysia, jumlah ketibaan tersebut menunjukkan pemulihan kukuh industri pelancongan negara dan meletakkan Malaysia di kedudukan teratas sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Prestasi itu disokong oleh peningkatan kemasukan pelancong dari negara jiran serta pasaran utama antarabangsa, selain kemudahan perjalanan dan kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan merangkumi bandar, alam semula jadi, makanan dan budaya.

Sementara itu, lapor Bloomberg Thailand hanya merekodkan kira-kira 33 juta ketibaan pelancong asing sepanjang tempoh sama, lebih rendah berbanding jangkaan awal pemulihan sektor pelancongan negara tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan berkata, kejayaan Malaysia mencatat kemasukan pelancong melebihi sasaran membuktikan hala tuju dan strategi pelancongan yang digerakkan kerajaan berada di landasan tepat.

Beliau menambah, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap produk, kemudahan dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan Malaysia merangkumi bandar, destinasi alam semula jadi, makanan serta kepelbagaian budaya.

BACA JUGA Siasatan SPRM: 14 akaun bank, RM300 juta dan 1,700 pelabur