Isteri bekas Panglima Tentera Darat didakwa terima wang aktiviti haram

Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini.

Wanita berusia 27 tahun itu didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000.

Salwani Anuar @ Kamarudin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Otman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor BH.

Berdasarkan pertuduhan, Salwani didakwa menerima wang hasil aktiviti haram apabila RM5,000 dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Cawangan Jerteh, Besut pada 16 Januari 2025.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 22 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM77,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengawal sebuah syarikat didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM50,000 dan RM7,000.

Selain itu, dia turut didakwa atas dua transaksi masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta 613 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama.

Sekiranya disabitkan kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

BACA JUGA Kes Zara: Inkues ditangguh, tumpuan pada tahap tanggungjawab pembuli