Kes Zara: Inkues ditangguh, tumpuan pada tahap tanggungjawab pembuli

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja, Zara Qairina Mahathir, tidak diteruskan pada Disember lalu bagi memberi laluan kepada pendakwaan kes jenayah buli membabitkan lima pelajar yang merupakan orang kena tuduh (OKT) kanak-kanak.

Menurut peguam Liyana Marzuki, kes berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu dberkenaan kini berjalan secara serentak melalui dua proses perundangan berasingan.

Ia, jelasnya, inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan kes jenayah buli yang melibatkan pertuduhan terhadap pelajar-pelajar terbabit atas perbuatan mengeluarkan kata-kata nista pada hari kejadian.

Beliau menjelaskan, sama ada perbuatan buli itu menjadi punca langsung kepada kematian Zara masih belum diputuskan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada dapatan inkues.

Sekiranya inkues menemukan elemen lain yang lebih berat, kata Liyana, pertuduhan jenayah sedia ada boleh dipinda atau ditambah.

“Dalam undang-undang, isu utama yang sedang diperhalusi ialah tahap culpability atau ketanggungjawaban.

“Ia bukan soal siapa salah atau tidak salah semata-mata, tetapi sejauh mana seseorang boleh dipertanggungjawabkan atas sesuatu kesalahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Implikasi hukuman

Liyana berkata, konsep culpability itu boleh difahami melalui perbezaan tahap kesalahan, seperti individu yang memulakan perbuatan jenayah berbanding mereka yang bersubahat atau gagal melaporkan kesalahan tersebut, yang membawa implikasi hukuman berbeza.

Setakat ini, jelasnya, keterangan saksi dan bukti dalam inkues tidak menunjukkan wujud unsur Zara dibunuh atau dicederakan secara fizikal oleh pihak ketiga.

Sebaliknya, dapatan lebih menjurus kepada kemungkinan Zara terjun akibat tekanan emosi dan mental yang berpunca daripada perbuatan buli.

Beliau berkata, peguam keluarga dan ibu mangsa juga belum mengemukakan sebarang bantahan terhadap dapatan sementara itu, sekali gus menunjukkan tiada asas kukuh setakat ini untuk mendakwa Zara dicampak atau dibunuh secara fizikal.

“Saksi dan bukti lebih menunjukkan unsur ‘dibunuh jiwa’ melalui buli mental.

“Isu sebenar kini ialah sejauh mana pembuli ini boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kematian tersebut atau ada faktor lain?” ujarnya.

Liyana menegaskab bahawa perbicaraan inkues kini menjadi medan utama untuk menentukan tahap ketanggungjawaban itu memandangkan satu pihak berpendirian pembuli perlu dipersalahkan sepenuhnya, manakala satu pihak lagi menilai kemungkinan kewujudan faktor lain yang menekan emosi mangsa.

Sehubungan itu, katanya, testimoni ibu bapa dan ahli keluarga terdekat Zara amat penting bagi menjelaskan keadaan mental dan emosi mangsa sebelum kejadian, termasuk sama ada Zara pernah mengalami kemurungan atau tekanan sebelum insiden tersebut.

Pengamal undang-undang itu berkata, jika dibuktikan Zara berada dalam keadaan mental yang normal dan tekanan hanya berpunca daripada perbuatan buli, maka pertuduhan jenayah boleh dipinda daripada kesalahan membuli dengan kata-kata nista yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, kepada kesalahan membuli mental sehingga menyebabkan kematian, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara itu berkata, keterangan seorang saksi kanak-kanak sebelum ini turut mendedahkan suasana pada malam kejadian sangat menakutkan, dengan wujud elemen mengambil undang-undang di tangan sendiri.

Pengendali audio siar “Jangan Pajak Otak” itu juga menegaskan, bagi menentukan tahap culpability secara adil, mahkamah perlu meneliti keseluruhan faktor termasuk latar belakang emosi dan psikologi mangsa sebelum kejadian.

“Keputusan akhirnya terletak pada mahkamah. Buat masa ini, semua pihak perlu menunggu dan terus mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara serta semua mangsa buli yang tidak lagi mampu bersuara,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Rasuah pegawai kanan TLDM sedang dijejak, SPRM beku 21 akaun bank