Projek ternakan babi Bukit Tagar dibatalkan, MB Selangor akur bantahan keras
Kerajaan Selangor memutuskan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatal dan ditangguhkan sementara lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan berkenaan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu.
Ia selepas Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memaklumkan terdapat bantahan keras berhubung projek terbabit.
“Sebenarnya sebelum PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) maklum pada kita (cadangan batalkan dahulu projek), memang MMKN memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan kerana kita lihat ada bantahan keras di Bukit Tagar.
“Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik. Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan-cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” jelasnya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di Shah Alam, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengakui rancangan kerajaan negeri itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan.
Menurutnya, Perdana Menteri memaklumkan syor supaya projek kontroversi itu dibatalkan menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara untuk pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri.
Beliau berkata, cadangan projek ternakan babi di Bukit Tagar dilakukan bagi menangani masalah pencemaran yang berlaku di Tanjong Sepat, Kuala Langat sejak belasan tahun lalu.
“Kita ikut nasihat PM, sebab isu ini dah melampaui daripada hal dan realiti sebenar.
“Tak apalah kita tangguh dan kita batalkan buat sementara, sebelum kita dapat alternatif tapak ataupun kaedah lain,” kata Amirudin lagi.
Pada 23 Januari lalu, Anwar berkata, mesyuarat mingguan Kabinet berpandangan bahawa isu ladang babi di Bukit Tagar membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.
Justeru, Perdana Menteri mencadangkan supaya projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu.
Sebelum ini, Amirudin berkata, keluasan 202 hektar atau hampir 500 ekar di Bukit Tagar yang dicadangkan untuk ladang babi itu merangkumi zon penampan bagi mengurangkan kesan bau, bunyi dan memastikan jarak selamat daripada kawasan awam.
Bagaimanapun, bantahan timbul daripada pelbagai pihak kerana projek itu dikhuatiri menimbulkan risiko besar terhadap alam sekitar, dengan kesannya akhirnya ditanggung oleh orang ramai termasuk penduduk di Lembah Klang.
Pakar air dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Maketab Mohamed mengingatkan bahawa Bukit Tagar terletak dalam Kawasan tadahan Sungai Selangor.
Beliau berkata, di hilir Sungai Selangor terdapat lima Loji Rawatan Air (LRA) yang membekalkan lebih 50 peratus air terawat untuk penduduk Lembah Kelang.
LRA terbabit adalah Rantau Panjang (Lama), LRA Rantau Panjang (Baru), Muka Sauk Fasa 3 Gamuda Water, Muka Sauk Fasa 2 LRA Sungai Selangor dan Muka Sauk Fasa 1 LRA Sungai Selangor (Air Selangor).
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pernah menyatakan bahawa pencemaran ladang babi adalah punca pencemaran kedua tertinggi selepas industri di negara ini.
Pada 2022, Malaysia mempunyai 1.87 juta ekor babi di seluruh negara yang menghasilkan 75,000 tan najis dan sisa sehari.
Dalam masa sama, rancangan untuk mewujudkan projek menternak babi secara mega di Hulu Selangor sama sekali tidak terkandung dalam Rancangan Tempatan Hulu Selangor 2035.
Malah, kerajaan Selangor telah mengisytiharkan daerah Hulu Selangor sebagai Daerah Pelancongan pada 2024 sekaligus bercanggah dengan projek ternakan babi seluas 500 ekar.
BACA JUGA Ringgit cecah RM3.97 sedolar, paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun