Rasuah pegawai kanan TLDM sedang dijejak, SPRM beku 21 akaun bank

Tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan anggaran nilai kira-kira RM700,000.

Tindakan itu diambil susulan siasatan ke atas beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah bagi mengesyorkan dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dilaporkan, SPRM menerusi Op Layar mempergiat siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam proses perolehan projek TLDM.

Siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM tersebut bernilai kira-kira RM2 juta, lapor Sinar Harian memetik sumber.

Setakat ini, menurut sumber terbabit, SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin turut mengesahkan bahawa pada masa ini suruhanjaya tersebut sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki suspek.

Dalam masa sama, SPRM turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek.

“Sehingga hari ini SPRM telah merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes tersebut,” dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, SPRM dilapor telah menahan reman dua individu membabitkan pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM berusia 40 dan 50-an untuk siasatan kes di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 hingga 2020.

Suspek pegawai kanan TLDM terbabit disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih.

Ia terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau.

BACA JUGA Rupanya ini status, kedudukan sebenar Mahiaddin dalam mesyuarat MT PN