Ringgit cecah RM3.97 sedolar, paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun

Ringgit pagi ini meneruskan momentum pengukuhannya, mencecah paras RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Keadaan ini menjadikan ringgit mencapai paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilapor berkata, mata wang tempatan disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif.

Beliau menekankan sokongan itu terutamanya susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang diadakan baru-baru ini.

Sebelum ini, agensi penarafan MARC Ratings berpendapat prestasi ringgit didorong terutamanya oleh aliran masuk portfolio asing yang berterusan.

Kadar inflasi yang kekal terkawal serta jurang hasil antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Perbendaharaan AS (UST) yang semakin memihak kepada Malaysia juga menjadi pemacu utama kepada prestasi ringgit.

MARC Ratings dalam satu kenyataan juga berkata, sentimen luaran yang semakin kukuh dijangka menyokong lebihan dagangan negara, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada mata wang tempatan.

Menjelang akhir 2025 lagi, ringgit mencatatkan kenaikan sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar AS, sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.

BACA JUGA Isteri bekas Panglima Tentera Darat didakwa terima wang aktiviti haram