Takiyuddin jawab kritikan Bersatu kenapa Mahiaddin tak dijemput ke mesyuarat

Satu surat jemputan mesyuarat luar biasa Perikatan Nasional (PN) yang dijangka diadakan pada Khamis ini menerima kritikan daripada pemimpin Bersatu susulan tiada nama Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dalam jemputan mesyuarat tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sebarang Mesyuarat MT PN yang diadakan tanpa kehadiran Mahiaddin adalah satu tindakan yang melanggar Perlembagaan gabungan itu.

Katanya, jika ada tafsiran “bahawa disebabkan Tan Sri Mahiaddin bukan lagi Pengerusi PN, maka beliau tidak perlu dijemput”, tafsiran ini adalah tafsiran yang salah dan songsang, menyalahi adab dan bertentangan dengan konvensyen.

Beliau mengkritik hebat perkara ini, sambil mempersoal apa sebenarnya alasan gabungan itu tidak menjemput Mahiaddin.

Sementara itu dalam sidang media di ibu pejabat Pas hari ini, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan tampil menjawab mengapa Presiden Bersatu itu tidak dijemput ke dalam mesyuarat mereka.

Katanya, ia disebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu telah pun meletakjan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, dan hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.

“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Mahiaddin) berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu),” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, peletakan jawatan Mahiaddin masih perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan.

BACA JUGA Ringgit cecah RM3.97 sedolar, paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun