Bakul Buah-Buahan Tempatan Jadi Alternatif Buah Tangan CNY

FOTO BERITA: Sidang Media selepas Pelancaran Bakul Buah-Buahan Tempatan oleh YB Datuk Chan Foong Hin Timbalan Menteri KPKM sempena CNY 2026 bersama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) di Pusat Media, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. 27hb Januari 2026 (Selasa)

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Chan Foong Hin hari ini melancarkan inisiatif Bakul Buah-Buahan Tempatan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026. Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, YB Cha Kee Chin serta Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) yang diketuai Encik Koh Lain Ann.

Menurut Chan, sambutan Tahun Baru Cina tahun ini yang memasuki Tahun Kuda membawa simbol inovasi, keberanian dan semangat memulakan usaha baharu. Seiring semangat itu, kementerian memperkenalkan pendekatan baharu dengan mempromosikan buah-buahan tempatan sebagai alternatif buah tangan perayaan.

“Setiap tahun, negara mengimport limau mandarin dengan nilai mencecah sehingga RM400 juta. Hakikatnya, Malaysia menghasilkan pelbagai buah tempatan yang berkualiti tinggi dan sesuai dijadikan hadiah sempena perayaan,” katanya. Beliau memaklumkan bahawa Kadar Sara Diri (SSR) buah-buahan tempatan pada tahun 2025 mencecah kira-kira 80 peratus, malah banyak jenis buah mencapai 100 peratus SSR seperti durian, betik, jambu batu, nanas, pisang dan tembikai.

Chan berkata, sejurus kembali bertugas di KPKM pada Disember lalu, beliau menerima pelbagai cadangan untuk mempergiat usaha mempromosikan buah tempatan sempena Tahun Baru Cina. Tanpa berlengah, beliau menghubungi FMFFA bagi merealisasikan idea tersebut. Hasil persiapan selama sebulan, FMFFA kini menawarkan tiga pakej bakul buah-buahan tempatan bernilai RM68, RM128 dan RM228 yang dibuka untuk tempahan. Antara buah yang terkandung dalam pakej tersebut ialah limau bali (pomelo), ciku, buah naga, markisa, jambu batu, pisang, nanas, tembikai mini serta produk berasaskan buah tempatan.

Inisiatif ini turut selari dengan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan yang dilaksanakan KPKM bersama FAMA sejak Julai 2025, yang bukan sahaja menggalakkan pemakanan sihat malah membantu meningkatkan pendapatan pekebun tempatan. Dalam masa sama, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri turut disaran menyajikan buah-buahan tempatan dalam setiap majlis rasmi sebagai tanda sokongan terhadap hasil pertanian domestik.

Beliau merakamkan penghargaan kepada FMFFA atas kerjasama menjayakan inisiatif ini dan berharap media dapat membantu mempromosikan kempen tersebut kepada masyarakat.