Prosiding penghinaan mahkamah ke atas Shafee: AGC akan putuskan

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menentukan sama ada terdapat unsur penghinaan mahkamah oleh peguam bekas perdana menteri, Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah sebelum tindakan lanjut diambil.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Undang – Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Berdasarkan input yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), pihak AGC akan meneliti isu berkaitan dengan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa unsur penghinaan Mahkamah sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.”

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Ramkarpal telah bertanya sama ada AGC akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Shafee susulan kenyataan Shafee yang mendakwa bahawa keputusan mahkamah berkenaan penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak telah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan Gabenor dalam permohonan pengampunan.

BACA JUGA: Kekal di Penjara Kajang atau menjadi tahanan rumah: Esok jadi penentuan nasib Najib