Rupanya Mahathir nikmati air ini semasa ‘outing’ pertama sejak dirawat di IJN

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dibawa oleh pegawai perubatan Institut Jantung Negara (IJN) ke sebuah kafe di dalam pusat membeli-belah Pavilion, Bukit Damansara, dalam satu lawatan ringkas sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Sufi Yusoff dari Pejabat Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri itu ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib serta beberapa pegawai perubatan IJN.

Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menghabiskan masa kira-kira 40 minit di kafe itu dan memilih untuk menikmati segelas ais coklat, yang merupakan ‘outing’ pertamanya sejak dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu.

Sufi memaklumkan bahawa Mahathir kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, yang menyebabkan tulang pinggul kanan beliau patah.

Selepas lawatan singkat itu, katanya, Mahathir dibawa semula ke IJN dan masih belum dibenarkan pulang ke rumah kerana perlu meneruskan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, pihak pejabat Mahathir memaklumkan bahawa lawatan kepada individu berusia 100 tahun berkenaan masih terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

BACA JUGA Heboh setiausaha masjid layan video lucah, ini tindakan JAIM