Akibat tak bayar baki tertunggak ganti rugi fitnah, ini nasib Datuk Seri Jamal Yunos
Penguatkuasaan penyitaan harta telah dibuat untuk mendapatkan baki tertunggak RM66,061.85 ke atas rumah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang Jaya hari ini.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa Kok (PH-Seputeh) selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Peguam beliau, Datuk Sankara Nair berkata jumlah tersebut ialah kos guaman yang belum dibayar oleh Jamal ekoran daripada kes saman fitnah Jamal yang mendakwa anak guamnya, Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
“Penguatkuasaan dibuat bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak itu, kerana Jamal gagal mematuhi sepenuhnya penghakiman akhir yang diperoleh Kok dalam saman berkenaan selaku plaintif.
“Mahkamah sebelum ini menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada plaintif selepas berjaya membuktikan dakwaan fitnah,” katanya.
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 30 Julai 2024 menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kok.
Sankara memberitahu, Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.
Saman yang difailkan oleh Kok pada 6 April 2017, mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac tahun sama.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.
Kok menyatakan, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika.
BACA JUGA: Rupanya Mahathir nikmati air ini semasa ‘outing’ pertama sejak dirawat di IJN