DAPSY: Mansuhkan sahaja AUKU, kami akan gubal Akta Pendidikan Tinggi baharu
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mahu AUKU dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan Akta Pengajian Tinggi yang akan diusahakan sendiri oleh DAPSY.
DAPSY tidak akan sesekali berpuas hati dengan pindaan kecil dan akan bekerjasama dengan firma guaman profesional bagi menggubal satu draf lengkap Akta Pendidikan Tinggi baharu untuk tujuan menggantikan AUKU sepenuhnya,” kata pengarah hal ehwal varsiti DAP kebangsaan, Koh Ling Xian dalam satu kenyataan.
“DAPSY akan membentangkan draf akta baharu kepada masyarakat umum, agar seluruh rakyat Malaysia boleh memperoleh gambaran, membincangkan dan menilai aspirasi pembinaan institusi pendidikan tinggi yang lebih progresif, memenuhi piawaian antarabangsa, mengangkat autonomi mahasiswa, mendukung demokrasi kampus, dan menjunjung kebebasan akademik.
Beliau turutmenegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi tidak sewajarnya membazirkan masa meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Sebaliknya kementerian tersebut wajar memansuhkan AUKU secara keseluruhan.
“DAPSY berpandangan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak seharusnya terus terperangkap dalam kitaran “semakan” dan “pindaan” yang tidak berkesudahan, sebaliknya perlu bertindak tegas dengan memansuhkan AUKU dan membina sistem pendidikan tinggi yang progresif,”
“Daripada membazir masa untuk menyemak AUKU, sebuah undang-undang yang telah lama hilang justifikasi kewujudannya, pemansuhan akta secara menyeluruh adalah satu-satunya jalan keluar yang selari dengan tuntutan zaman. Pindaan demi pindaan hanya akan melengahkan reformasi dan akhirnya menjadikan transformasi pendidikan tinggi sekadar retorik kosong.”
Koh berkata demikian susulan penegasan Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Zambry Abdul Kadir bahawa AUKU tidak akan dimansuhkan. Sebaliknya ia akan ditambah baik menerusi pindaan.
Zambry berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Chow Yu Hui (PH-Raub) beberapa hari yang lalu.
Koh juga menggunakan kontroversi university awam yang mengenakan peratusan kampus tidak masuk akal dengan denda keterlaluan oleh pihak pentadbiran university tanpa pertimbangan munasabah sebagai alas an beliau.
“Kontroversi tersebut wujud kerana AUKU yang lapuk memberi gambaran seolah-olah pihak universiti mempunyai autonomi, namun hakikatnya struktur pengurusan tertinggi termasuk pelantikan Naib Canselor masih tertakluk kepada campur tangan politik. Akibatnya, institusi pengajian tinggi dibelenggu oleh kelompok birokrat yang mentadbir universiti seperti tadika, sekali gus menindas peranan dan kebebasan mahasiswa serta ahli akademik.”
Beliau turut menyoal berapa kali AUKU akan dipinda sebelum university boleh kembali menjalankan peranan asal sebagai gedung ilmu.
“Hakikatnya, pemansuhan AUKU tidak perlu bermula dari kosong kerana konsensus telah lama wujud dalam kalangan ahli akademik, mahasiswa dan alumni tentang keperluan tersebut. Malahan, seawal tahun 2020, Kementerian Pendidikan telah menerima laporan terperinci serta cadangan rang undang-undang alternatif yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemansuhan AUKU.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Memandangkan semua kajian dan cadangan ini boleh dijadikan sebagai rujukan perundangan yang menyeluruh untuk mewujudkan satu akta pendidikan tinggi baharu, KPT tidak seharusnya terus berdalih dengan alasan bahawa ‘kajian lanjut diperlukan’ untuk melengah-lengahkan reformasi.”
Koh turut menyatakan bahaw pemansuhan AUKU adalah penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.
“DAPSY sekali lagi menegaskan bahawa pemansuhan AUKU dan penggubalan undang-undang baharu bukan isu kepentingan mana-mana parti politik, sebaliknya berkait rapat dengan kepentingan nasional yang ditentukan oleh daya saing pendidikan tinggi negara.
“Kerajaan Perpaduan harus menunjukkan iltizam merentas parti dalam melaksanakan reformasi struktural yang bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti pendidikan tinggi, malah akan menjadi satu nilai tambah besar untuk menarik sokongan dan menyakinkan rakyat.”
BACA JUGA: Pemansuhan AUKU? Ini pendirian kerajaan Madani