‘Macam mak budak yang mengidam nak makan di Rembayung’
Seorang ibu mencetuskan perbincangan warganet selepas memuat naik hantaran yang dilihat meminta tajaan sambutan hari lahir anaknya di Rembayung dekat Kampung Baru.
Menerusi hantaran berkenaan, pemilik akaun Threads, jugem6267, menyatakan hasrat untuk meraikan sambutan hari lahir anaknya yang juga merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolah.
“Ada yang sudi dan ikhlas tak, nak belanja anak saya meja makan sekali menu-menu special by KA (Khairul Aming).
“Anak saya merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan esok ialah hari lahirnya,” tulisnya.

Dia turut memaklumkan bahawa jika terdapat individu yang berminat untuk meraikan kejayaan anaknya di restoran Rembayung, mereka boleh menghantar mesej peribadi kepadanya.
“Jadi, manalah tahu ada yang baik hati nak raikan kejayaan dia kat Rembayung boleh PM ya semua,” ujarnya selamba.
Hantaran tersebut kemudiannya tular dan mengundang kecaman dalam kalangan pengguna media sosial termasuk menganggap permintaan itu seperti ‘pengemis moden’.
Rata-rata turut berpendapat ibu kepada murid cemerlang berkenaan yang nampaknya teringin menikmati juadah di restoran milik pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming itu.
Tidak kurang juga yang mengesyorkan supaya ibu murid cemerlang itu masak sendiri sahaja di rumah lauk-pauk ala Rembayung.
“Macam mak budak yang mengidam nak makan di Rembayung. Jarang budak-budak cari nasi berlauk untuk raikan pencapaian.
“Gunakan anak, padahal mak yang nak.
“Anak kau tapi kenapa kena orang lain yang belanja dan raikan?
“Mak bapa usahalah sendiri untuk meraikan anaknya,” demikian antara reaksi warganet.
Sementara itu, Rose Yahya menasihatkan kepada orang ramai agar tidak sesekali menjatuhkan maruah diri hanya kerana mahu meraih perhatian ketika sesuatu isu sedang tular.
“Lebih penting, jangan memalukan anak akibat sikap ibu sendiri, kerana perbuatan itu akhirnya hanya mengaibkan diri sebagai seorang ibu,” nasihatnya lagi.
BACA JUGA Rupanya Mahathir nikmati air ini semasa ‘outing’ pertama sejak dirawat di IJN