Mediasi gagal, saman fitnah Mohd Na’im terhadap Papagomo diteruskan

Bekas Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar akan meneruskan saman fitnah terhadap blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo.

Ia selepas kedua-dua pihak tidak sepakat menyelesaikan kes saman menerusi mediasi di hadapan Hakim Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St. James yang bertindak sebagai perantara.

Susulan kegagalan mediasi ini, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im berkata, perbicaraan kes akan bermula pada 21 dan 24 September nanti.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac untuk kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian.

Mohd. Na’im memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri berhubung satu klip video yang dimuat naik di Facebook ‘Sir Azri’ pada 18 September 2023.

Beliau mendakwa, Papagomo telah memfitnahnya, memberi gambaran seolah-olah menteri agama tidak melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam, selain menuduh Mohd Na’im kononnya mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual atau lucah, maka plaintif seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.

Menurutnya, kenyataan fitnah tersebut menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status beliau di mata masyarakat umum. 

BACA JUGA PN terus buntu cari kata sepakat, mesyuarat Majlis Tertinggi batal