Tuntut Pulau Pinang: Ketua Menteri bidas Sanusi dalam Dewan Rakyat

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berterusan membangkitkan soal tuntutan pajakan dari Pulau Pinang.

Beliau menegaskan, sejak awal lagi tuntutan Kedah adalah tidak wajar dan tidak berasas dari sudut perundangan, malah bertentangan sama sekali dengan prinsip Persekutuan Malaysia .

Ini kerana, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukannya diperkuatkan lagi dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dari sudut perundangan juga jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia yang mana selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat setaraf dengan negeri-negeri lain termasuk Kedah.

“Kedudukan ini diperkuatkan lagi apabila Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai dan sejak itu Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya kepada mana-mana tuntutan sejarah pra-kemerdekaan,” katanya ketika di Dewan Rakyat semalam.

Chow berkata, semua pihak perlu menghentikan retorik politik yang boleh menimbulkan kekeliruan awam serta menjejaskan hubungan antara negeri.

“Sudah tiba masanya kita menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Awal tahun ini Sanusi berkata, kerajaan negeri yakin proses perundangan berhubung tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai.

Beliau mendakwa Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.

BACA JUGA Krisis Perlis dedah Pas gagal urus perbezaan, rakyat jadi mangsa politik kuno