Cegah virus Nipah: KKM pantau pengembara dari India dan Bangladesh

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan bersasar ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Malaysia, khususnya India dan Bangladesh sebagai langkah awal dalam mencegah penularan virus Nipah.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan di semua pintu masuk antarabangsa negara, dengan sistem pengimbas suhu badan sentiasa diaktifkan bagi mengesan sebarang petunjuk awal seperti demam dalam kalangan pengembara.

Dr Dzulkefly Ahmad

“Kami beri tumpuan kepada pelancong yang datang, khususnya dari India dan Bangladesh, yang (dari negara) lain pun kami tak ambil ringan dan mustahaknya saringan bersasar itu telah kami mulakan.

“Tiada laluan khas untuk mereka, andainya ada indikator untuk demam dan sebagainya, kemudian kami akan panggil mereka.

“Kami berjaga-jaga tapi saringan masih dijalankan di pintu masuk,” katanya selepas Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung RHB-IJN di Bangi hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pendekatan tersebut selaras dengan amalan kebanyakan negara ketika ini, dengan langkah saringan disesuaikan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Tambahnya, KKM sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan langkah-langkah kawalan yang diambil adalah bersesuaian dan selari dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa.

BACA JUGA 6 peruntukan bantuan kepada rakyat ini meningkat hasil pelaksanaan penyasaran subsidi