Dari gaji T20 kini jatuh M40, pekerja Malaysia di Singapura mula rasa terkesan
Pengukuhan nilai mata wang ringgit sejak minggu lalu terutama selepas ia mencecah paras RM3.91 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mula dirasai pekerja Malaysia di Singapura.
Ia selepas kadar pertukaran dolar Singapura kepada ringgit juga semakin mengecil.
Setakat semalam (28 Januari), ringgit melonjak pada paras RM3.10 berbanding dolar Singapura.
Beberapa pekerja Malaysia di Singapura mendakwa simpanan dan perbelanjaan harian mereka jatuh sekitar 10 hingga 15 peratus.
Mereka merasai pengurangan pendapatan apabila sebelum ini boleh mencapai RM12,000 sebulan, tetapi kini jatuh sehingga RM10,000 sahaja sebulan.
“Gaji asas saya masih sama, $3,500, tetapi bila ditukar kepada ringgit sekarang nilainya sekitar RM10,906.
“Kalau dulu boleh cecah hampir RM12,000. Dalam sekelip mata, rasa macam daripada T20 (berpendapatan tinggi) terus turun ke M40 (bergaji pertengahan),” kata Zack, pekerja sektor perkhidmatan dan pengangkutan, memetik portal BH Singapura.
Seorang pekerja bidang perubatan yang mahu dikenali sebagai Hafeez, 35 tahun, berkata beliau mengalami penyusutan pendapatan sekitar RM3,000 dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya hilang dalam RM3,000 lebih. Penurunan ini sebenarnya sudah bermula sejak 2025, bila kadar tukaran perlahan-lahan jatuh. Memang terasa, tak boleh nafikan,” katanya.
Bagaimanapun, Hafeez berkata beliau masih mampu menyesuaikan diri kerana tidak mempunyai komitmen hutang yang besar.
BACA JUGA Pulau Pinang milik Persekutuan bukan sentimen: Fakta Perlembagaan menutup segala tuntutan