Kenaikan nilai ringgit dijangka kekal ekoran faktor struktur, lapor Bloomberg
Kenaikan nilai ringgit Malaysia yang berterusan dijangka berkemungkinan besar boleh bertahan lantaran didorong oleh banyak faktor asas bukan semata-mata kerana kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).
Bloomberg dalam analisisnya menyatakan hanya kira-kira 25 peratus daripada kenaikan 12 peratus ringgit sepanjang setahun lalu yang merupakan tertinggi di Asia disebabkan faktor makro seperti sentimen risiko global dan pergerakan dolar AS.
Selebihnya, lapor Bloomberg, datang dari asas ekonomi Malaysia yang semakin kukuh, seperti aliran pelaburan yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang melebihi jangkaan.
Faktor-faktor ini lebih mampan dan telah membantu ringgit naik ke paras terkuat sejak 2018.
Agensi berita berpangkalan di New York itu memetik Wee Khoon Chong dari BNY sebagai berkata, pengukuhan besar ringgit banyak dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI).
Ia khususnya dalam pusat data, selain momentum pertumbuhan ekonomi dan usaha kerajaan menyusun semula kewangan negara.
Khoon Chong berkata, ringgit berpotensi terus mengatasi mata wang negara Asia membangun lain pada separuh pertama tahun ini.
Analisis tersebut menilai kesan beberapa faktor seperti indeks dolar, hasil bon AS dua tahun dan prestasi pasaran saham global.
Hasilnya menunjukkan faktor-faktor ini kurang memberi kesan kepada ringgit berbanding mata wang seperti baht Thailand, dolar Singapura dan peso Filipina.
Melebihi sasaran
Keyakinan pelabur terhadap aset Malaysia juga semakin meningkat walaupun ekonomi negara bergantung kuat kepada perdagangan dan berdepan tarif AS sebanyak 19 peratus sejak tahun lalu.
“KDNK Malaysia berkembang 5.7 peratus pada suku Oktober–Disember, menjadikan pertumbuhan tahunan melebihi sasaran rasmi.
“Selain itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI) dan sedang muncul sebagai hab pusat data Asia, yang membuka peluang pertumbuhan baharu.
“Pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama melonjak lebih 47 peratus dalam sembilan bulan pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut MIDA,” lapor Bloomberg.
Dalam masa sama, optimisme terhadap Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura turut membantu sentimen pasaran.
Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelbagai insentif cukai untuk menarik pelabur ke zon ini, yang disasarkan menyumbang AS$26 bilion setahun kepada ekonomi menjelang 2030 dengan Pelan induk zon tersebut dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.
Namun, masih terdapat risiko. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan kepada 4%–4.5% pada 2026, berbanding 4.9% tahun lalu.
Selain itu, HSBC memberi amaran pasaran bon Malaysia antara yang paling berisiko jika kenaikan hasil bon Jepun mendorong pelabur Jepun membawa pulang modal mereka.
Walaupun begitu, penganalisis Goldman Sachs kekal optimis apabila menjangkakan eksport teknologi, FDI dan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang stabil akan terus menyokong kekuatan ringgit pada 2026.
Dalam laporan berasingan, Goldman meramalkan ringgit boleh mengukuh ke 3.85 berbanding dolar AS dalam tempoh 12 bulan.
Setakat ini, ringgit telah naik lebih 3 peratus pada Januari dan ditutup pada 3.92 berbanding dolar AS, mencatat enam hari berturut-turut kenaikan.
Kemasukan semula dana global ke pasaran saham Malaysia juga memberi petanda positif kepada ringgit.
Pelabur asing telah melabur hampir AS$308 juta bersih setakat Januari ini, selepas pengeluaran lebih AS$5 bilion sepanjang 2025.
BACA JUGA 6 peruntukan bantuan kepada rakyat ini meningkat hasil pelaksanaan penyasaran subsidi