‘Musim berebut pisang’, PRN Melaka dedah kerjasama politik rapuh
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka menjadi ujian penting kepada semua parti politik, khususnya dalam mengukur keberkesanan dan kelangsungan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim.
Menurutnya, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semasa akan berakhir pada 26 Disember 2026 dan jika DUN terbubar secara automatik, PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya pada 24 Februari 2027.
“Dengan kata lain, PRN Melaka sama ada berlangsung tahun ini, atau paling lewat awal tahun hadapan,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Beliau berpendapat pilihan raya kali ini akan menjadi testimoni penting kepada semua parti politik, khususnya untuk menguji kerjasama politik menjelang PRU16.
Mengulas situasi kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Melaka, beliau menyifatkan hubungan kedua-dua gabungan itu sebagai sukar untuk berlaku secara harmoni di peringkat negeri.
“Kalau pun kepimpinan atasan memutuskan untuk bekerjasama sekalipun, kerjasama tersebut tidak akan berlaku secara operasi.
“Dengan kata lain kerjasama tersebut kurang strategik dan praktikal, fokus habis untuk krisis dalaman, tenaga habis untuk saling jerkah sesama sendiri,” jelasnya.
Dominasi ego
Dr Yusri tidak menolak kemungkinan PH dan BN bertembung secara terbuka dalam PRN Melaka jika konflik dalaman gagal diurus dengan baik, malah menyifatkan pertembungan itu sebagai lebih selari dengan dominasi ego masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut melihat Perikatan Nasional (PN) berdepan krisis membabitkan hubungan antara Pas dan Bersatu hampir mustahil untuk dipulihkan.
“Kalaupun berjaya mencapai kata putus sekalipun, hubungan Pas-Bersatu tidak akan harmoni lagi, terlalu prasangka dan prejudis.
“Dalam keadaan tersebut, agak mencabar untuk mereka kembali bekerjasama dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau juga menjangkakan Tan Sri Mahiaddin Yassin berkemungkinan membawa Bersatu memimpin gabungan longgar parti-parti lain untuk menghadapi PRN Melaka.
Pas pula, ujarnya, mungkin memilih untuk bergerak secara bersendirian atau membentuk kerjasama baharu seumpama Gagasan Sejahtera seperti sebelum ini.
“Inilah situasi politik sekarang, musim orang berbalah. Musim berebut pisang,” sindir Dr Yusri lagi.
BACA JUGA ‘Macam mak budak yang mengidam nak makan di Rembayung’