Rakam dan viral seolah anak diabaikan…YDP buka cerita apa jadi sebenarnya
Susulan kritikan hebat terhadap sebuah sekolah kerana didakwa membiarkan seorang murid pendidikan khas berjalan menggunakan lutut, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan telah tampil menjelaskan duduk cerita sebenar isu yang digembar-gemburkan itu.
Dalam satu penjelasan di Facebook, Jeehan Adam menjelaskan bahawa apa yang digambarkan oleh ibu murid berkenaan bukanlah perkara yang benar.
Ini kerana pada waktu kejadian, murid tersebut teruja melihat kehadiran ibunya, lantas meluru keluar dari kelas untuk menunjukkan kepada ibunya suasana kantin sekolah dan rakan-rakannya.
Tetapi lain pula terjadi apabila ibu murid tersebut menularkan situasi itu seolah-olah murid berkenaan diabaikan para guru.
“Saya YDP sekolah tersebut. Ramai pihak salah faham. Si anak sangat teruja bila si ibu datang. Dari dalam kelas, terus keluar untuk tunjukkan kepada si ibu, kantin sekolah dan kawan-kawan di situ.
“Si ibu pula rakam dan viralkan seolah-olah anak diabaikan guru. Walker (alat bantuan berjalan) tidak digunakan di dalam kelas.
“Anak tersebut baru sahaja bersekolah di situ. Dan untuk pengetahuan semua, sekolah tersebut adalah antara sekolah terbaik dalam mendidik murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Mohon hadam dan fahamkan,” katanya.
Dia juga memaklumkan bahawa guru-guru di sekolah berkenaan sangat menjaga murid-murid, dan meluahkan rasa kecewa kerana hanya video pendek tersebut, semua guru dan sekolah dipersalahkan.
“Guru-guru bukan sahaja kena menjawab di hadapan JPN dan PPD, netizen tidak kurang memaki hamun. Tidak adil sekiranya netizen tidak siasat cerita sebenar. Saya mohon semua harap faham dan berhenti mengecam,” tambahnya lagi.
Terdahulu, seorang ibu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak sekolah yang didakwa mengabaikan anaknya kerana membiarkan anaknya berjalan ke kawasan kantin tanpa menggunakan alat bantuan berjalan.
BACA JUGA Wan Fayhsal gesa Mahiaddin letak jawatan Presiden Bersatu segera