RHB-IJN lancar Unit Bergerak Saringan Jantung, bawa teknologi diagnostik terus ke komuniti

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan di Kompleks RHB Bangi, No.8, Jalan Institusi, Kawasan Institusi, Bandar Baru Bangi, Selangor. 29hb Januari 2026 (Khamis)

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung di Kompleks RHB Bangi, Bandar Baru Bangi, dalam satu inisiatif kolaborasi strategik antara Kumpulan Perbankan RHB dan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memperluas akses saringan jantung kepada masyarakat. Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rashid Mohamad; Pengerusi IJN Holdings Sdn. Bhd., Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min; serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, Yang Berbahagia Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib.

Menurut beliau, penyakit jantung kekal sebagai pembunuh nombor satu di Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan. Berdasarkan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024, penyakit jantung iskemia meragut 17,421 nyawa dalam tempoh setahun, menyumbang kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan kematian di negara ini, khususnya dalam kalangan individu berusia antara 41 hingga 59 tahun. “Angka ini adalah satu ‘wake-up call’ kepada kita semua. Penyakit jantung bukan sekadar statistik, tetapi ancaman nyata kepada setiap keluarga Malaysia,” tegas beliau.

Beliau turut menyentuh mengenai beban kos penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kini mencecah RM64.2 bilion setahun, melebihi peruntukan KKM sebanyak RM46.5 bilion dalam Belanjawan 2026. Keadaan ini, katanya, boleh menjejaskan produktiviti negara sekiranya rakyat tidak berada dalam keadaan sihat, terutama dalam fasa second economic take-off negara. Sehubungan itu, KKM kini memberi fokus kepada agenda “Bring Care Closer to The Community”, yang menuntut pendekatan proaktif dengan membawa perkhidmatan kesihatan terus kepada rakyat, bukan lagi menunggu pesakit hadir ke fasiliti kesihatan.

Unit Bergerak RHB-IJN ini merupakan gabungan teknikal unik di mana RHB membekalkan unit ‘Prime Mover’ Volvo baharu berjenama “Dipacu oleh RHB”, manakala IJN menyediakan ‘screening trailer’ lengkap dengan peralatan diagnostik canggih seperti Elektrokardiogram (ECG) dan Ekokardiografi (ECHO). Gabungan ini membolehkan teknologi klinikal dibawa terus ke komuniti, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan di hospital pakar. Perkhidmatan saringan ini ditawarkan secara percuma sebagai usaha merakyatkan akses kesihatan.

Kerjasama strategik selama tiga tahun ini menyasarkan operasi di sekurang-kurangnya 12 lokasi setahun di seluruh negara, dengan manfaat kepada lebih 4,000 rakyat. Program ini turut mengintegrasikan elemen literasi kewangan (FinLit) bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat dilihat secara holistik merangkumi aspek kesihatan dan kestabilan ekonomi.

Majlis turut menyaksikan sesi ‘flag-off’ pasukan sukarelawan IJN dan RHB ke lokasi pertama di Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai permulaan misi saringan di lapangan. Menteri Kesihatan berharap model kolaborasi awam-swasta seperti ini dapat dicontohi oleh lebih banyak syarikat korporat, sambil menegaskan bahawa pelaburan terbaik negara bukan hanya pada infrastruktur fizikal, tetapi pada kesihatan rakyat yang menjadi nadi kemajuan Malaysia.

Teras kepada inisiatif ini ialah Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung IJN yang telah dinaik taraf, iaitu sebuah treler boleh kembang sepanjang 40 kaki yang dilengkapi kemudahan Ekokardiogram (ECHO), Elektrokardiogram (ECG) serta ruang triage trauma. Dengan mobiliti dan kebolehoperasian yang dipertingkat, unit ini membolehkan IJN melaksanakan misi saringan yang lebih kerap dan meluas meliputi kawasan separa bandar, luar bandar, pedalaman dan komuniti yang kurang mendapat liputan perkhidmatan kesihatan, di samping menjangkau masyarakat umum di luar persekitaran hospital. Sekiranya keputusan saringan memerlukan rawatan lanjut, rujukan segera akan dikeluarkan di lokasi.

Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Dato’ Mohd Rashid Mohamad berkata, kerjasama ini menzahirkan komitmen RHB untuk memastikan akses kepada kesejahteraan komuniti dibina secara berterusan melalui pencegahan, pendidikan dan pemerkasaan. “Apabila perkhidmatan dibawa lebih dekat kepada komuniti, masyarakat lebih berupaya mengurus kesihatan diri dan merancang masa depan. Inilah makna kemajuan inklusif — bertemu masyarakat di mana mereka berada dan mencipta impak yang berkekalan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, unit bergerak IJN yang diperkenalkan sejak 2013 telah menjadi platform penting dalam menyampaikan saringan kesihatan jantung dan pendidikan kesihatan di seluruh negara. “Penambahbaikan terbaharu ini memastikan aspek mobiliti, keselamatan dan kelestarian terus diperkukuh ketika kami membawa inisiatif IJN Menjejaki Malaysia ke setiap pelosok negara di bawah komitmen IJN Goes Beyond,” jelas beliau.

RHB turut akan mengintegrasikan program literasi kewangan utamanya, RHB Smart Money, dalam beberapa program komuniti bersama IJN bagi menyokong kesejahteraan yang lebih holistik. Antara inisiatif terlibat termasuk sekolah luar bandar di bawah program RHB X Cel, universiti awam menerusi RHB MySiswa, serta komuniti di bawah RHB Santuni MADANI, di mana akses kepada pendidikan kesihatan pencegahan dan literasi kewangan masih terhad.