Dr Zuhdi jawab tulisan peguam PAS mengenai mursyidul am

Mantan AJK Pas Pusat Dr Zuhdi Marsuki telah membalas bantahan pengerusi Lujnah Hak Asasi Manusia Pas Wan Rohimi Wan Daud berhubung beza kedudukan Mursyidul Am berbanding Presiden Pas.

Zuhdi telah menyangkal tohmahan bahawa beliau tidak arif berkenaan perlembagaan parti. Beliau berkata bahawa pemisahan kuasa presiden dan mursyidul am hanya berlaku selepas 1983.

Konsep amir pula lebih dekat dengan peranan mursyidul am.

“Saya tidak sebut perkataan semata-mata, tetapi juga konsepnya. Konsep seseorang amir itu ada pada Mursyidul Am. Sebab itu, perkataan amir kepada Abdullah bin Jubayr RA, walaupun disebut ketua tetapi konsepnya bukan ketua umum.

“Perkataan amir kepada Umar bin al-Khattab, konsepnya adalah ketua umum. Di dalam pengajian apa-apa disiplin ilmu, ada perkataan (lughah) dan ada istilah (konsep).

Menurut Zuhdi yang pernah mengetuai Pusat Penyelidikan Pas, bidang kuasa presiden Pas adalah sama dengan ketua eksekutif.

“Fasal ini (Fasal 39 Perlembagaan Pas) jika dibaca sehingga noktah terakhir menunjukkan Presiden adalah ketua bagi pihak pelaksana dasar dan ketetapan yang dibuat.

“Dengan lain perkataan ketua eksekutif. Dasar dan ketetapan yang diketuai pelaksanaannya oleh Presiden termasuklah dasar dan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Syura, menunjukkan Majlis Syura berada di atas JK Kerja PAS Pusat dan Presiden.”

Menurutnya jawatan ketua tidak menjadikan seseorang itu amir memandangkan terdapat banyak jawatan dengan gelaran ketua.

Zuhdi berhujah bahawa Fasal 9, Perlembagaan Pas turut mengiktiraf peranan mursyidul am sebagai amir.

“Fasal 9(1)(a) ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan Mursyidul Am sebagai amir. Termasuklah di dalam fasal ini, kuasa Mursyidul Am untuk mengeluarkan arahan dan perintah terhadap mana-mana entiti di dalam PAS termasuklah ke atas JK Kerja PAS Pusat dan Presiden.

“Tetapi tidak sebaliknya, JK Kerja PAS Pusat dan Presiden tidak boleh mengeluarkan arahan dan perintah kepada Majlis Syura dan Mursyidul Am. Belum lagi kita lihat pula Fasal 9(1)(c), Mursyidul Am ada kuasa bebas untuk mengawasi semua kegiatan yang dilakukan oleh semua entiti PAS termasuk JK Kerja PAS Pusat dan Presiden.

“Pada pandangan saya Fasal 9(1) ini jika difahami secara jujur, menunjukkan Mursyidul Am sebagai amir bagi PAS.

Dalam bahasa mudah, presiden ialah ketua eksekutif dan mursyidul ialah ketua am Pas.

Polemik presiden – mursyidul am timbul susulan perbezaan pendirian di antara presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan mursyidul am Pas Datuk Hashim Jasin dalam krisis Perlis tempoh hari.

BACA JUGA: Cadangan Mursyidul Am Pas sekiranya konflik dalam PN tak selesai